KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dihentikan serta dihalang kerana pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh rakyat melihat kewibawaan parti itu sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri walaupun berhadapan kekangan kewangan.
"Saya lihat prestasi yang dicapai oleh kerajaan (tiga) negeri ini apabila kita (PAS) perintah sangat menarik walaupun dalam keadaan berhadapan masalah kewangan yang dinafikan.
"Kita pernah mengalami bertahun-tahun masalah ini, apa yang penting rakyat memahami masalah ini (kerana itu) kita melihat gelombang rakyat itu berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dengan menolak parti lain dan menyokong kita (PN),"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Terengganu internasional Summit (TIS) 2023, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berpandangan selain 'gelombang hijau' yang berlaku di tiga buah negeri diperintah PAS, akan turut berlaku di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
"Gelombang ini masih ada (berlaku) sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi-pengundi muda," katanya.