GLC Terengganu Buka 'Food Bank' Di Stesen Minyak

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Kerajaan negeri melalui Anak syarikatnya (GLC), Terengganu Intercroprated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mewujudkan bank makanan di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar Kuala Terengganu sebagai inisiatif  meringankan beban rakyat pada waktu ini.

Ketua Komunikasi Strategik Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, pihaknya memperuntukkan RM100,000 sehingga akhir tahun ini bagi menjayakan program itu yang telah beroperasi di beberapa tempat seperti Shell Wakaf Mempelam, Pulau Kambing dan Stesen Minyak Petron.

Katanya, bank makanan itu menyediakan segala keperluan asas seperti beras, kicap,mihun, sardin gula, tepung gandum dan sebagainya di lokasi tumpuan umum terbabit.

"Persetujuan telah dicapai antara pihak kami dan pemilik stesen minyak, mereka bersetuju untuk membenarkan kita meletakkan segala barangan di premis mereka, pekerjanya akan sentiasa memastikan barangan mencukupi.

"Kita target dalam seminggu atau dua minggu sekali kita akan tambah barangan ini bergantung pada keadaan, apabila sesuatu barangan habis akan dimaklumkan kepada syarikat untuk ditambah.

"Sasaran kita adalah khusus untuk membantu golongan susah terdiri daripada golongan asnaf, daif, mereka yang mengalami kesempitan hidup akibat terjejas pandemik Covid-19 dan sebagainya. Mereka yang betul-betul memerlukan boleh datang ke sini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada perasmian 'Terengganu Inc Food Bank' di Shell Wakaf Mempelam semalam.

 

Program tersebut telah dirasmi serta dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.

Suridah turut memaklumkan sebuah sekolah akan turut terpilih bagi dijadikan bank simpanan makanan, dalam memastikan rakyat Kuala Terengganu dan sekitarnya mendapat manfaat menerusi usaha kebajikan diadakan tersebut.

Dalam pada itu Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata kerjasama diantara syarikat dan pemilik stesen terbabit adalah efektif dalam memudahkan golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan segala keperluan harian mereka

"Jadi ini merupakan suatu usaha baik jadi kepada masyarakat atau rakyat yang berada di sini dan sekitarnya khusunya penduduk Kampung (Kg) Tok Jamal, Kg Wakaf Mempelam, Padang Midin, Pengadang Baru, Sungai Rengas, Kubang Tangga boleh datang ke sini untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

"Boleh diambil mengikut apa yang mereka perlukan. Bekalan ini akan sentiasa mencukupi kerana akan sentiasa ditambah. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terbaik menerusi usaha murni ini dalam membantu meringankan kesusahan dialami rakyat dalam suasana penuh mencabar ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Stesen Minyak Shell Wakaf Mempelam, Wan Ahmad Farhan Dato' Wan Hazmi berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila premisnya itu dipilih untuk menempatkan 'Food Bank' berkenaan.

"Dengan menjadikan stesen minyak ini sebagai perantaraan, untuk menyampaikan sumbangan kebajikan yang disalurkan secara khusus kepada penduduk di sekitar Kuala Terengganu ini khususnya penduduk di Wakaf Mempelam pihak kami telah melantik kakitangan untuk menjaga barangan ini.

"Kami akan pastikan sampai betul-betul kepada mereka yang memerlukan, bagi menjamin tidak berlaku ketirisan, dan mengelak daripada  pihak yang sengaja mengambil kesempatan, jadi setiap hari akan ada staf untuk 'monitor'.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Terengganu INC, ADUN setempat serta mana-mana pihak yang terlibat menjayakan program ini," ujarnya.

Sementara itu, ibu tunggal kepada lima anak, Rohaya Ismail, 44, berkata inisiatif yang diwujudkan itu mampu membantu golongan kurang berkemampuan dan mengalami keperitan hidup.

"Terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19, alhamdulillah syukur kepada Allah apabila datang ke sini saya dimaklumkan bahawa ada program ini telah dilancarkan, jadi saya mengambil kesempatan untuk mengambil barangan keperluan ini.

"Barangan ini menjadi keperluan untuk keluarga saya, jadi ia sangat membantu saya dan anak-anak yang alami kepayahan setelah diceraikan suami untuk meneruskan kelansungan hidup," ujarnya yang berasal dari Merbau Patah.

 

 

 

 


Tag: