Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
GMTS Bina Kredibiliti Belia Tunai Tanggungjawab Mengundi
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Dalam usaha mempersiap golongan belia agar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan melibatkan diri di dalam pilihan raya, kerajaan Terengganu melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) memperkenalkan program Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, untuk menjayakan program berkenaan, beberapa pembahagian disasarkan dalam pelaksanaannya.
"Yang pertama ialah TUNAS bagi kanak-kanak berumur 11 hingga 12 tahun (School Potential Talent-SPT), DIDIK merangkumi umur 13 hingga 15 tahun (Teens Potential Talent 1-TPT 1) dan BAKAT bagi umur 16 hingga19 tahun (Teens Potential Talent 2-TPT 2).
"Manakala, bagi belia berumur 20 hingga 25 tahun, kita meletakkan mereka dalam pembahagian ELIT ( High Potential Talent-HPT) dan IKON bagi umur 26 hingga 30 tahun ( Ikon Belia Terengganu Sejahtera)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Ucapan Titah Tuanku, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, program berkenaan diharapkan dapat melahirkan anak muda yang berkepimpinan dengan penerapan minda politik matang dan sejahtera.
Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Program ADUN Belia sejak tahun 2019 serta akan meneruskannya bagi memberi pendedahan dan melatih golongan belia untuk menjadi pemimpin pelapis di masa akan datang.
"Antara program lain yang dirancangan melalui GMTS juga adalah Program Ikon Anak Muda, Motivasi Belia Terengganu, 'School Attack', 'Studio Live' dan 'Hiwar' Belia Manis serta banyak lagi.
"Selain itu, kerajaan negeri berkerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu telah mengadakan Program Rukun Negara@Belia, Program ETOS Anak Muda dan Program Rakan Muda Klik.
"Ia dalam memberi kesedaran kepada belia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, selain meningkatkan pengetahuan literasi politik, ekonomi dan sosial," katanya.