Gol Kpah Bantu Terengganu FC Rampas Tiga Mata

KUALA NERUS, 14 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menang tipis 1-0 dalam aksi menentang Sarawak United pada saingan Liga Super, semalam.

Penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman muncul wira membantu pasukannya memungut tiga mata dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-72.

Pada aksi terakhir di halaman sendiri, Sang Penyu turun tanpa kekuatan penuh dengan beberapa pemain yang kurang cergas direhatkan berikutan jadual perlawanan yang agak padat.

Terengganu FC jelas mendominasi permainan sejak wisel pertama ditiupkan, namun buntu menterjemahkan serangan ke kubu lawan dengan jaringan gol sekalipun berpeluang melakukan banyak percubaan ke gawang pelawat.

Kemasukan pemain sayap lincah kebangsaan, Mohd Faisal Halim pada separuh masa kedua ternyata menambah sengat jentera serangan tuan rumah.

Hantaran lintang Faisal dari sebelah kanan pintu gol Sarawak United berjaya disambar Kpah untuk memecah kebuntuan gol. Kedudukan tersebut kekal sehingga perlawanan di tamatkan.

Pengendali pasukan, Nafuzi Zain menyifatkan, tiga mata yang berjaya diperolehi amat penting dalam situasi rehat yang singkat antara perlawanan.

"Rombakan terpaksa dilakukan kerana pemain-pemain utama kita terlalu penat, ada juga yang cedera dan kurang sihat. Faisal dan Manuel (Ott) juga terpaksa bermain walaupun belum bersedia kerana kita memerlukan khidmat mereka. 

"Kita perlukan tiga mata ini dan saya terharu dengan komitmen yang pemain berikan," katanya.

Kemenangan berkenaan membantu Terengganu FC naik ke tangga keempat liga dengan 20 mata, manakala Sarawak United yang mengumpul 13 mata, kekal di kedudukan ke-10. 

 

 


Tag: