Gol Sanjar Bawa Terengganu FC Ke Suku Akhir

KUALA TERENGGANU, 7 November- Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan saingan TM Piala Malaysia 2020 dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) di laman sendiri, semalam.

Gol tunggal perlawanan berpunca daripada kesilapan pertahanan import The Phoneix, Kim Bong Jin yang menolak lemah bola kepada Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36.

Penyerang Khazakhstan itu mudah menyempurnakan peluang satu lawan satu berhadapan penjaga gol lawan, Kalamullah Alhafiz sekaligus menyaksikan Terengganu FC muncul pasukan terakhir layak ke suku akhir.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, perlawanan dimulakan lewat hampir setengah jam apabila Malaysian Football League (MFL) tidak berpuas hati dengan garisan padang tersebut dan terpaksa menunggu sehingga dicat semula.

Dalam cuaca hujan, skuad kendalian Nafuzi Zain memulakan permainan dengan menguasai bola seawal minit pertama wisel ditiupkan.

Tuan rumah yang nyata dahagakan gol awal melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.

Bermula pada minit ke-17, Faris Ramli sempat melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun hanya melepasi gawang pelawat.

PJ City mula mengorak langkah dengan serangan balas dan pemain tengah, Gurusamy berpeluang meledakkan gol awal pada minit ke-23, tetapi pantas dinafikan Rahadiazli Rahalim yang cemerlang di gawang tuan rumah.

Seminit kemudian, Lee Tuck pula cuba melepaskan rembatan dari sisi kiri kotak penalti sayangnya ditepis keluar. Kedua-dua pasukan saling merebut penguasaan bola namun sukar menembusi kubu pertahanan masing-masing.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC dan PJ City terus buntu mencipta gol dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

 

 

 

 

 


Tag: