• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

GPMS Perlu Transformasi Minda, Lahirkan Mahasiswa Minda Kelas Pertama - A. Latiff



Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu perlu kekal dengan matlamat asal penubuhannya untuk memperkasakan pendidikan Orang Melayu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri, A. Latiff Awang.

Beliau berkata, badan itu perlu sentiasa proaktif, melakukan tranformasi minda ke arah pembangunan modal insan untuk melahirkan golongan mahasiswa minda kelas pertama.

"GPMS perlu menyerapkan disiplin dan kecemerlangan kepada anak Melayu supaya mampu menandingi kehebatan bangsa lain dalam pelbagai bidang satu masa nanti. Jadi saya harap GPMS tidak lari daripada matlamat perjuangan asalnya.

"Mungkin modus operandi sebelum ini berbeza. berbanding masa kini. Jadi saya sarankan Tengku (Pengerusi GPMS Negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera) mengajak semua cendekiawan dan mahasiswa yang bijak pandai turun ke bawah bersama golongan pendidik bagi mendekati pelajar Melayu tanpa mengira lapangan dan geografi mereka dengan menggunapakai kaedah serta metodologi yang berkesan,"katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Berbuka Puasa Terengganu Transformasi baharu (TTB) GPMS Negeri Terengganu, di Quinara Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir, Pengerusi GPMS Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Pegawai Pendidikan Kuala Nerus, Che Soh Muda.

Hadir sama, Pengerusi Gerakan Belia 4B Terengganu, Rosdi Mat Zin dan Pengerusi MAYC Negeri, Amirullah Othman.

Tambahnya, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong sebarang program dan aktiviti yang memberi manfaat dan boleh menjadi rakan strategik ke arah melahirkan golongan pelajar Melayu yang cemerlang.

Katanya, GPMS juga perlu meneroka usaha yang lebih segar dan baharu serta keluar dari kepompong kelaziman sebelum ini seperti menganjurkan tuisyen dan jelajah Skor A kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan awam kerana hambatan teknologi dan perkembangan semasa kini memerlukan transformasi dalam pelbagai aspek.

Di majlis itu, beliau turut meluluskan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada GPMS Negeri untuk perbelanjaan pengurusan badan itu.



Tag: