KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Bahagian Perladangan (TDMP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menggunakan teknologi pertanian pintar Internet of Things (IoT) dalam projek tanaman cili.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, PPK Kuala Langat telah menyemai 20,000 polibeg cili yang ditanam melalui teknik IoT iaitu dengan sistem bantuan penderia dan mengautomasikan sistem pengairan.
Katanya, teknik itu menjanjikan hasil berkualiti premium dan meningkatkan hasil pengeluaran serta pada yang sama mengurangkan kos operasi.
"Projek penanaman cili siap guna ini dijalankan juga bagi mengoptimumkan kawasan berpotensi dan memanfaat aset sedia syarikat bermula dengan lima ekar atau dua hektar tanah di Ladang Tayor dan akan diperluas sehingga 200 ekar menjelang tahun 2025.
"Kami ingin memanfaatkan peluang ini dengan kepakaran PPK Kuala Langat dalam perniagaan pertanian, khususnya penanaman cili, memaksimumkan hasil mengikut keluasan tanah sambil turut menyumbang kepada jaminan dan bekalan makanan di Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berharap dapat melihat lebih banyak lagi kerjasama tersebut dalam usaha memacu sektor pertanian kehadapan.
“Saya merakamkan sekalung tahniah kepada TDMP kerana memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaminan makanan tempatan melalui kerjasama berimpak bersama rakan industri yang berpengalaman," katanya kepada media selepas merasmikan Projek Usahawan Tanaman Cili TDMP dan PPK Kuala Langat baru-baru ini.