Guru PASTI Terima Sumbangan Ringankan Beban

KEMAMAN, 21 Mac – Seramai 86 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima sumbangan istimewa daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, sebagai tanda penghargaan atas jasa dan dedikasi mereka dalam mendidik generasi muda.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung pada 18 Mac di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi medan pertemuan yang mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan pendidik.

Mohd Hafiz menegaskan bahawa sumbangan tersebut adalah bukti penghormatan terhadap usaha gigih guru-guru PASTI yang berkhidmat di 13 pusat pendidikan dalam kawasan tersebut.

“Sumbangan ini adalah tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah berusaha keras dalam mendidik anak-anak di DUN Air Putih.

“Majlis ini juga menjadi platform bagi mereka untuk berkumpul, bertukar pandangan, serta memperkukuh hubungan dalam memperkasakan pendidikan PASTI,” katanya.

Guru-guru yang hadir dilihat begitu teruja dan bersemangat menerima sumbangan tersebut.

Mereka berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi membakar semangat dalam menjalankan tugas mendidik dengan lebih cemerlang.

Mohd Hafiz turut menzahirkan harapan agar para pendidik terus bersemangat dan komited dalam menyampaikan ilmu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti di DUN Air Putih.

Majlis tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan dan membuktikan keprihatinan pemimpin setempat dalam menghargai jasa pendidik yang berperanan penting dalam membentuk masa depan generasi akan datang.


Tag: