Kita mohon kerjasama semua penduduk supaya membayar (tunggakan) agar senang kita percepatkan proses |
HULU TERENGGANU - Kesemua hak milik kekal tanah penduduk dalam kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Dungun dan Kemaman kini dalam proses dan pertimbangan Jawatankuasa Tanah Daerah masing-masing.
Pengerusi Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, perkara tersebut dijangka dapat diselesaikan akhir tahun ini.
“Penduduk yang terlibat dengan pembangunan awal dulu kita bina sebanyak 4,800 buah rumah jadi yang telah selesai hak milik 2,700 dan yang 1,000 lebih lagi itu dalam proses.
“Itu pun bergantung kepada bayaran (dan sekiranya) penduduk yang gagal buat bayaran jadi proses untuk pindah milik akan terganggu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program Memasak Bubur Asyura Wilayah Ketengahdi Dataran Kenyir, Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini, 7 Oktober.
Katanya, pemohon tidak boleh menyalahkan 100 peratus kepada Ketengah sekiranya belum menerima hak milik rumah kerana terdapat tunggakan mengakibatkan proses tersebut tertangguh. atasan.
“Kita mohon kerjasama semua penduduk supaya membayar (tunggakan) agar senang kita percepatkan proses,” katanya.
Selain itu, Ketengah membantu penduduk dengan membuka dan memberi peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk rakyat Negeri Terengganu.
Tambahnya, Ketengah sekarang ini bekerjasama dengan kerajaan negeri terutama menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) bagi menarik para pelabur datang untuk melabur di Terengganu.
Beliau juga menggalakkan penduduk setempat supaya melibatkan diri secara langsung dan aktif dalam sektor keusahawanan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi membaiki taraf hidup dan mengembangkan ekonomi setempat.