Harapan Nelayan Sungai Bandar Chukai Tertunai

KEMAMAN, 24 November - Hasrat nelayan di Jeti Sungai Bandar Chukai di sini untuk mempunyai bekalan air bersih di kawasan jeti mereka sejak beberapa tahun lalu akhirnya tertunai.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Chukai, Sirat Nasam, 63, menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang merealisasikan impian nelayan di sana.

Katanya, kesungguhan Hanafiah juga wajar dipuji apabila menaja sepenuhnya kos pemasangan paip air itu.

"Sebelum ini mereka terpaksa mendapatkan bekalan air bersih di kawasan yang jauh sedikit daripada jeti.

"Oleh yang demikian, mereka inginkan bekalan air bersih di kawasan jeti ini bagi memudahkan urusan mencari rezeki, akhirnya hari ini mereka dapat merasai dan menikmatinya. Ini semua kerana keprihatinan Yang Berhormat (YB) kepada nelayan di sini," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Hanafiah Mat yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu sebelum ini turut membelanjakan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menanggung kos baik pulih Jeti Nelayan Sungai Bandar Chukai itu. Foto oleh - Azizi Zakaria.