‘Henti Guna Royalti Petroleum Untuk Dera Seteru Politik’

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Kerajaan Persekutuan sekali lagi digesa agar tidak menggunakan wang royalti petroleum untuk mendera seteru politik.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan hasil minyak mesti disalurkan secara terus kepada akaun Kerajaan Negeri sebagaimana amalan terdahulu dan janji terhadap rakyat Terengganu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Larut selaku Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) yang membangkitkan isu berkaitan Royalti Petroleum untuk Terengganu.

“Tuntutan kami di Terengganu, walaupun sesetengah pihak menjadikannya sebagai keputusan dan penderaan politik, Kemaman bersama dengan rakan-rakan yang lain akan terus menyampaikan pendirian dan hasrat rakyat, supaya royalti petroleum kepada negeri dipulangkan terus kembali ke akaun Negeri, seperti mana yang diamalkan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Terengganu itu berkata, ketidakadilan itu berlaku disebabkan tujuan politik diletakkan pada tahap tertinggi mengatasi kepentingan lain.

“Inilah antara contoh yang berlaku apabila tujuan politik mengatasi segalanya, maka ditimbul dan digunakanlah berbagai alasan, seumpama mengalih tiang gol, dan berbagai syarat baharu untuk menidakkan tindakan penyaluran wang royalti petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022.

Manakala berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, bagi tahun ini pula, Kerajaan Persekutuan dilapor masih belum melunaskan bayaran sebagaimana perjanjian.


Tag: