• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Hina Mahkamah Syariah: DPPNT Buat Laporan Polis

Ustaz Kamaruzaman (tiga, kanan) menujukkan laporan polis yang dibuat

KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyarankan agar Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail memohon maaf sekali gus menarik balik kenyataan yang disifatkan boleh menghina mahkamah kerana mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah berhubung kes hubungan sejenis dua wanita lesbian di Dungun April lalu.

Serentak itu ketuanya Ustaz Kamaruzaman Abdullah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu, 19 Ogos.

"Laporan ini bertujuan mengingatkan Tan Sri Razali supaya beliau dapat berhati-hati ketika mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung dengan keharmonain negara ini khususnya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Yang keduanya, bila isu ini telah menjadi viral di seluruh negara maka selayaknya beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sekiranya tidak, kami (DPPNT) akan serah kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya," tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika membuat kenyataan media selepas selesai laporan polis di buat di balai berkenaan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir Ustaz Hilmi Harun, Setiausaha DPPNT, Ustaz Mohd Nasir Abdul Razak, Ketua DPP Kuala Terengganu, Mohd Azrin Mohd Aris,  Exco DPPNT Raja Arizal Raja Arif dan Mohd Aswadi Mohamad.

Dalam laporan polis itu Ustaz Kamaruzaman percaya kenyataan yang dikeluarkan oleh SUHAKAM merupakan satu penghinaan atau menyebabkan dipandang hina, mempertikai dan mempersenda, serta bermaksud merendahkan keputusan atau penghakiman dan Martabat Mahkamah Syariah Terengganu.

Dan ini bertentangan dengan Seksyen 11 - Mengingkari Perintah Mahkamah, Enakmen 7, Tahun 2001, Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu, Bahagian III berhubung dengan kesalahan dan Institusinya.

"Bagi mempertahan dan mengekalkan kesucian dan ketinggian agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, saya datang ke balai polis buat aduan bagi tujuan pihak polis membuka kertas siasatan ke atas Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail dan/atau ahli-ahli Pesuruhjaya SUHAKAM," jelasnya dalam laporan tersebut.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman 6 sebatan dan denda RM3,300 ke atas dua wanita yang cuba melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta di Dungun, April lalu.

Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas wanita berusia 22 dan 32 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Mereka juga akan dihukum penjara empat bulan, jika gagal membayar denda itu.


Sebagaimana disiarkan oleh beberapa akhbar online, Tan Sri Razali dilaporkan sebagai berkata, hukuman seperti itu memalukan, merendahkan dan percubaan untuk memalukan si pelaku dan keluarga mereka secara terbuka.

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata,ia sekaligus bertentangan dengan nilai martabat manusia, dan tidak selari dengan komitmen menjaga maruah seseorang seperti yang dianjurkan dalam setiap agama.

"Suhakam menegaskan hukuman sebat dalam keadaan apapun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa," ujarnya dalam laporan tersebut.

Ustaz Kamaruzzaman yang juga Pengarah Insitut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) berkata, DPPNT atas prinsip mempertahankan Rukun Negara termasuk mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sepatutnya kenyataan seumpama itu tidak dikeluarkan oleh Pengerusi SUHAKAM.

Beliau berkata, apabila sesuatu mahkamah telah memutuskan satu keputusan maka semua pihak termasuk pemerintah dan lain-lain mesti menerima keputusan tersebut seadanya.

"Kita (DPPNT) merasa terkilan dengan kenyataan Tan Sri Pengerusi SUHAKAM yang telah membelakangkan kedaulatan undang-undang yang semua orang tahu walaupun dengan alasan (yang cuba kita selidiki) kononnya bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

"Hujah tersebut tidak digunapakai sebagai kita rakyat Malaysia yang menjulang perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Malahan apa yang diputuskan oleh mahkamah syariah sebenarnya sangat-sangat kecil jika hendak dibandingkan dengan amaran dari Allah SWT," jelasnya.

Katanya, Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender  (LGBT) itu merupakan satu perkara yang telah digezetkan oleh Allah SWT sebagai amalan songsang yang mengundang kemurkaan-Nya.

"Sekiranya umat zaman dahulu Allah bayar 'cash'(tunai), dengan melingkupkan bumi dan menenggelamkan mereka.

"Cuma kita jadi umat Nabi Muhammad s.a.w., apa jenis bangsa sekalipun siasah layanan Allah Ta'ala berbeza dan diberi tangguh oleh Allah, membuka ruang untuk mereka kembali kepada Allah SWT," jelasnya lagi.

Justeru katanya, dengan rasa penuh tanggungjawab DPPNT memberi teguran supaya mudah-mudahan Tan Sri Razali kembali ke pangkal jalan dan beliau tidak menyanggahi apa yang diputuskan oleh Allah dan mahkamah.

"Kita memandang ia sangat serius kerana Tan Sri mempunyai kedudukan  dalam masyarakat, sekiranya dibiarkan perkara ini terus berlaku, dia akan mengundang kepada mala petaka dari sudut prinsip undang-undang di Malaysia ini.

"Maknanya sesiapa sahaja boleh menyuarakan ketidakpuasanhati kepada keputusan mahkamah," katanya lagi.

Difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat akan berhubung dengan pihak pendakwa raya mahkamah syariah untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Urusteia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini.


Tag: