Hotel Paya Bunga (PB) Square dijangka siap sepenuhnya pada akhir April ini.
Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Samiun Salleh berkata, secara keseluruhan kerja-kerja fizikal hotel telah siap sepenuhnya.
"Sehingga 7 Mac lalu pihak kontraktor telah menyiapkan 60 peratus bagi kerja-kerja hiasan dalaman (ID),"ujarnya.
Samiun berkata, Hotel PB Square bertaraf tiga bintang itu mempunyai 208 buah bilik penginapan dengan menyediakan kemudahan dewan seminar, restoran dan kolam renang kepada penyewa hotel.
"Selain itu, ianya juga terletak di lokasi strategik dimana terdapat pelbagai kemudahan disediakan termasuk dari segi pengangkutan (berdekatan dengan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan laluan Bas Kite), pusat boling, panggung wayang, pusat membeli belah, UTC Terengganu, bank serta kemudahan tempat meletak kenderaan,"ujarnya.
Katanya, Hotel PB Square juga bakal menyediakan penginapan selesa dengan harga berpatutan kepada pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Terengganu.
"Pemandangan keseluruhan Bandar Raya Kuala Terengganu juga dapat dilihat dari Hotel PB Square dan secara tidak langsung dapat mempromosikan tempat-tempat menarik yang ada di sekitarnya seperti Pasar Payang, Bazar Warisan dan Pantai Batu Burok sekali gus menyemarakkan Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017," ujarnya.
Sementara itu Samiun berkata, semua komponen pembangunan PMINT Square (PB Sentral, Hotel PB Square dan PB Plaza) akan beroperasi secara menyeluruh Mei depan.