i-MiTS DUN Bukit Besi Teruskan Khidmat Masyarakat
Zakiah bertanya khabar kepada salah seorang warga emas sempena Program Hari Bersama Pelanggan dan Temu Murni Penghuni Rumah Ehsan, di Rumah Ehsan Al-Muktafi Billal Shah, hari ini. |
DUNGUN, 1 November- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera ( i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi akan meneruskan khidmat untuk masyarakat sebagaimana fungsi penubuhannya oleh kerajaan negeri.
Penolong Penyelia i-MiTS, Zakiah Alias berkata, program seumpama ini bertepatan untuk i-MiTS hadir sebagai satu latihan dan pendedahan agar ia lebih berperanan di dalam masyarakat.
"Disamping itu, ianya akan memberi satu pengalaman buat i-MiTS dan menyedari hakikat bahawa di sebalik kehidupan yang ditempuhi ini, ada golongan yang perlu diberi perhatian khusus.
“Seperti hari ini, Rumah Ehsan mengadakan hari bersama pelanggan dan temu murni penghuni bersama masyarakat setempat, serta kepada semua yang prihatin kepada warga emas dan i-MiTS turut hadir memeriahkan sambutan khas yang diadakan bagi menzahirkan keprihatinan terhadap warga emas disini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Hari Bersama Pelanggan dan Temu Murni Penghuni Rumah Ehsan, di Rumah Ehsan Al-Muktafi Billal Shah, di sini, hari ini.
Menurut Zakiah lagi, pihaknya hadir dengan penuh rasa kecaknaan dan berharap dapat mengeratkan perhubungan diantara Rumah Ehsan dan masyarakat yang hadir.
"Oleh kerana itu, di peringkat i-MiTS DUN akan menjadikan ziarah ke Rumah Ehsan secara berkala, akan menjadi aktiviti yang akan dilakukan jika tidak terlalu kerap pun dalam setahun, kita akan cuba untuk hadir, sekurang-kurangnya dua kali setahun, sebagai ziarah yang bermotifkan kebajikan.
"Secara tidak langsung, akan mengalir perasaan sayang, prihatin serta kasih pada warga emas akan dapat diwujudkan," katanya.
Terdahulu, sebanyak 49 helai tudung telah diagihkan kepada penghuni wanita Rumah Ehsan sebagai tanda kenangan.
"Terlihat aliran airmata yang penuh kesyahduan, betapa mereka suka dengan kehadiran kami ( i-MiTS), semoga kita akan kekal menjadi warga prihatin, meletakkan warga emas golongan yang berada di tempat tertinggi, mereka amat perlu dhargai," ujar Zakiah.