• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Ibadah Puasa Terbukti Baik Untuk Kesihatan

KUALA TERENGGANU, 10 April - Pelbagai kajian yang telah dijalankan dan terbukti banyak kebaikan yang diperolehi oleh badan melalui ibadah berpuasa khususnya dari sudut kesihatan.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, kajian yang dijalankan membuktikan bahawa sebanyak 10 hingga 30 peratus penyakit dapat dikurangkan melalui berpuasa.

Katanya, penyakit itu terdiri daripada kencing manis, strok, darah tinggi dan lain-lain penyakit.

"Manakala, penurunan berat badan pula dapat dikurangkan sebanyak lima hingga 10 peratus akibat menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari.

“Hal ini kerana, badan kita dapat berehat dengan lebih baik pada bulan puasa ini setelah 11 bulan menjalani pemprosesan makanan yang berat.

“Perut kita ibarat enjin iaitu apabila kita makan selama enam kali setiap hari selama 11 bulan menyebabkan perut tidak dapat berehat dan timbul pelbagai penyakit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Program Madinah Ramadan yang berlangsung di Dataran Drawbridge di sini baru-baru ini.

Tambah Dr Suhazeli, orang luar juga mengkaji dan menemui pelbagai penemuan, kebaikan dan keajaiban melalui ibadah puasa ini.

Beliau berkata, khusunya dalam melibatkan pelbagai jenis penyakit yang ada dalam badan kita.

“Setiap kali makanan masuk dalam badan kita, perut bahagian atas sekali akan menahan makanan itu terlebih dahulu dalam dua hingga empat jam sebelum turun ke bawah.

“Proses itu mengambil masa dalam lebih kurang lapan jam untuk hadam sesuatu makanan,” katanya.

Sementara itu, manusia menggunakan tenaga melalui makanan yang dimakan seperti nasi dan seterusnya nasi itu akan diserap dalam badan kita untuk menjanakan tenaga.

Namun, apabila berpuasa, tenaga yang digunakan oleh manusia diperolehi melalui simpanan lemak di pelbagai sudut bahagian dalam badan kita.

“Iaitu melalui pembentukan glukosa baru yang akan memecahkan lebihan lemak dalam badan untuk digunakan menjadi tenaga.

“Pelbagai kajian yang dijalankan dan terbukti bahawa setiap perkara yang dibawa oleh ajaran Islam memberi kebaikan untuk manusia,” ujarnya.

 

 

 


Tag: