MARANG, 13 November - Ibu mentua kepada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung (Kg) Rusila selepas solat jenazah yang diadakan pada jam 10 pagi di Masjid Rusila.
Ahli Parlimen Marang yang juga merupakan Presiden PAS telah mengimamkan solat jenazah ibu mentuanya, Dayang Abdullah yang meninggal kerana sakit tua di kediamannya, Kg Belubur, Rusila pada jam 12.20 pagi.
"Terasa sebak dan sedih di jiwa mendengarkan khabar pemergian ibu mentua. Pemergiannya menggores rasa pilu buat seluruh anggota keluarga yang sangat rapat dengannya," ujar Abdul Hadi menerusi hantaran di facebooknya di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, meski tidak bersama, doa terhadap ibu mentuanya itu akan sentiasa mengalir mengiringi perjalanan menuju tanah abadi.
"Semoga mendapat rahmat daripada Allah SWT, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin," ujarnya.