Ibu Warga Emas Tabah Besarkan Tiga Anak Syurga
Oleh: Syed Kamal
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Seorang wanita warga emas, Engku Loklok Jaafar, 77, tabah membesarkan tiga ‘anak syurga’ berusia 35 hingga 45 tahun yang mengalami masalah perkembangan otak sejak kecil.
Keperitan ibu tunggal kepada tujuh anak yang tinggal di Lorong Salak Kampung Chabang Tiga, di sini itu semakin terasa apabila suami sebagai tempat berkongsi derita, Syed Ahmad Zainal Abidin meninggal dunia beberapa tahun lalu, menyebabkan dia bersama anak perempuannya, Sharifah Halimah yang menjaga ketiga anak istimewa itu sepenuh masa.
Dalam pada itu, nasib keluarga itu sekali lagi diuji apabila suami Halimah pula diserang strok sejak tahun lalu dan kedua-dua wanita berkenaan perlu menjaga empat keluarga yang sakit sekali gus.
Anak Loklok yang lain menetap di luar Terengganu, kecuali seorang lagi anak lelakinya, Syed Luqman kadang-kadang turut meluangkan masa membantu ibu dan adiknya itu bagi menjaga empat saudatanya yang uzur di rumah berkenaan.
Biarpun diuji dengan dugaan hebat itu, Loklok tetap menganggap anak istimewa mereka sebagai anugerah Allah SWT yang tidak ternilai dan menjadi satu sebab untuk memudahkan langkahnya menuju ke syura kelak, selain akan menjaga amanah Allah itu dengan sebaik mungkin selagi nyawanya dipinjamkan.
“Saya redha dan sabar dengan amanah tuhan yang ingin saya membesarkan tiga orang anak yang tidak sihat ini. Saya harap dengan ujian yang Allah SWT berikan ini menjadi penyebab untuk saya masuk ke syurganya nanti,” luahnya sambil menitiskan air mata.
Warga emas itu berkata demikian ketika menerima kunjungan ziarah isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Norizan Ngah, semalam.
Turut sama, Muslimat PAS DUN Bandar, wakil Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Bandar dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Makam Lama, Mohamad Zuki.
Program ziarah kepada pesakit kronik dan penduduk uzur itu merupakan program bulanan Muslimat PAS DUN Bandar.