Ikan 'Sekila' Semakin Digilai Ramai

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kanak-kanak di era 80an dahulu sudah sinonim dengan ikan 'sekila' atau nama komersialnya ikan Betta. Ikan ini terdapat dalam pelbagai jenis dan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ikan hiasan.

Menurut pengusaha ternakan itu, Shaifullah Azaha, 39, antara jenis ikan betta yang menjadi kegilaan sekarang ialah Avatar, Blue Rim, Koi Galaxy, Tiger Nemo, dan betta Multicolour.

"Saya banyak biakkan Koi Galaxy, Blue Rim, Multicolour, dan Marble. Sekarang sedang usahakan projek membiakkan betta jenis Samurai, Tiger Nemo, dan Half Moon Dumbo.

"Perniagaan ini amat menggalakkan kerana masyarakat sekarang semakin meminati keunikkan ikan betta. Namun, kerana kurangnya kelengkapan untuk pembiakan, banyak permintaan pelanggan terpaksa ditolak," jelasnya.

Tambahnya  lagi, harga pasaran ikan berkenaan bermula dari RM20 hingga mencecah kepada RM500 seekor bergantung kepada jenis dan bentuk serta ciri-ciri fizikalnya.

Beliau yang mula menceburi dunia perniagaan ikan betta bersama adiknya, Muhammad Azizi Azaha pada akhir tahun 2019 memaklumkan, segala-galanya bermula hanyalah kerana hobi.

"Apabila ada kawan-kawan yang mula berminat dan sedia membeli, saya cuba tularkannya melalui aplikasi Telegram. Alhamdulillah, ia semakin mendapat sambutan.

"Peminat ikan ini bukan sahaja ada di Terengganu, bahkan dari seluruh Semenanjung Malaysia. Malah, ada pelanggan kami yang menjadi johan dalam Johor Betta Challenge," tambahnya.

Perniagaan beliau turut menarik minat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed untuk mengunjungi kedainya yang terletak di Kampung Tanjung.

"Saya kagum dengan semangat anak muda yang berani mencuba nasib untuk berniaga. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh berserta tawakkal yang tinggi, tiada apa yang mustahil untuk menggapai kejayaan," katanya.

Kepada peminat ikan betta, boleh hubungi pengusaha ikan ini melalui aplikasi Telegram dan Facebook 'TanjungBettaOurFarm'.