Ikut Garis Panduan Ditetapkan, Jangan Cabar Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan aktiviti berunsur hiburan di negeri ini supaya menghormati garis panduan hiburan ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, tindakan penganjur program yang menampilkan penyanyi berpakaian mencolok mata di sebuah hotel pada 25 Mac lalu bercanggah dengan peraturan sedia ada.

Susulan itu kata beliau, pihaknya akan bertemu pihak hotel tersebut pada hari Ahad ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Kita mahu mendengar mereka mengemukakan sebab dan alasan kenapa dibenarkan konsert seumpama itu berlaku," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Aspirasi Keluarga Malaysia TerengganuFM sempena Hari RTM ke-76, di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Bukit Pak Apil, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, penganjur sepatutnya merujuk Pihak Berkuasa Tempatan terlebih dahulu sebelum menjalankan program seumpama itu.

"Secara umumnya orang dah tahu Terengganu ada garis panduan, melainkan sengaja hendak melakukan provokasi bagi membesarkan sesuatu isu agar apabila tindakan diambil maka mereka mula hendak menunjukkan belang.

"Dengan menuduh bahawa kita sebuah kerajaan yang sangat keras sedangkan kita sentiasa bersedia untuk memberikan pandangan, penjelasan dan menerangkan hala tuju yang jelas tentang garis panduan kerajaan negeri ini," ujarnya.

Tegasnya lagi, jika masih ada pihak yang ingkar terhadap garis panduan berkenaan, tindakan akan boleh diambil kerana telah sengaja mencetuskan kemarahan bukan sahaja pihak kerajaan bahkan rakyat negeri ini.

"Masyarakat di negeri ini mempunyai kesedaran agama yang sangat tinggi serta pegangan yang kuat terhadap agama dan ia sudah diketahui umum, bahkan secara umumnya masyarakat di negara ini sudah mengenali bahawa Terengganu sangat sinonim dengan rakyatnya yang rata-ratanya sangat memahami ajaran Islam," ujarnya.

 


Tag: