Impian Miliki Tanah Sendiri Tercapai

DUNGUN, 26 Mei - Para peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri menamatkan tiga tahun penantian mereka untuk memiliki tanah sendiri.

Salah seorang peserta, Zakaria Mohammad, 30, sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menunaikan impian untuk memiliki tanah yang sudah lama dimohon.

“Proses permohonan ini agak sukar, namun ketua kampung dan pihak yang terlibat bekerja keras memudahkan urusan terutamanya pihak kerajaan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Zakaria yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel milik abangnya merupakan salah seorang daripada 514 peserta RTB yang menerima borang 5A bagi geran lot tanah sendiri di Balai Orang Ramai, Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, Bukit Besi di sini hari ini. 

 

Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik dan Borang 5A itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim serta Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Seorang lagi peserta, Mohd Saifullizam Mustafa, 52, memuji komitmen kerajaan dalam menyelesaikan pemilikan tanah buat rakyat Terengganu.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dengan komitmen memberi lot tanah ini yang menonjolkan salah satu kebaikan pihak kerajaan.

“Dengan kelulusan ini, saya berhasrat untuk mengusahakan ia sebagai kawasan ternakan,” ujarnya.

 

Peserta yang menerima borang 5A perlu membuat pembayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada nilaian sebenar tanah dalam tempoh tiga bulan.

 

 


Tag: