lightning-solid
Berita :
3,000 Bubur Lambuk Laris, Tradisi Ramadan Terengganu Inc Tarik Perhatian
3,000 Bubur Lambuk Laris, Tradisi Ramadan Terengganu Inc Tarik Perhatian
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
120

KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Aroma rempah ratus yang semerbak sejak awal petang seakan menjadi ‘loceng’ memanggil orang ramai apabila program agihan bubur lambuk anjuran Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. kembali menceriakan suasana Ramadan di perkarangan Masjid Abidin, di sini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan itu menyaksikan sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk diagihkan secara percuma sepanjang tiga hari bermula 22 hingga 24 Februari, sekali gus menjadi antara acara kebajikan yang paling dinanti-nantikan penduduk sekitar Kuala Terengganu setiap kali Ramadan menjelma.

IMG-20260225-WA0068.jpg 163.65 KB
Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Dato' Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, program tersebut bukan sekadar tradisi tahunan, malah menjadi simbol kebersamaan antara syarikat berkaitan kerajaan negeri(GLC) dengan masyarakat setempat.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama 15 anak syarikat kumpulan yang berganding bahu menyediakan bahan mentah, tenaga kerja serta logistik bagi memastikan pengagihan berjalan lancar.

 “Alhamdulillah, inisiatif ini akan menjadi titik tolak ukhwah di antara kepimpinan masjid, warga kerja Terengganu Inc selaku syarikat korporat yang mengetuai  GLC dan komuniti setempat  dengan pengagihan bubur lambuk secara percuma di kawasan berhampiran  masjid yang terletak di lokasi strategik di bandar Kuala Terengganu.

 “Kami bukan sahaja mahu berkongsi rezeki, tetapi juga menghidupkan semangat gotong-royong Ramadan. Bubur lambuk ini dimasak secara bergilir oleh kakitangan dan sukarelawan sebagai tanda penghargaan kepada komuniti yang sentiasa menyokong kami,” katanya kepada pemberita.

Turut hadir sama, Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

IMG-20260225-WA0061.jpg 126.34 KB
Tinjauan mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 2.30 petang, ada yang datang bersama keluarga, malah tidak kurang juga warga emas yang sanggup menunggu demi merasai hidangan tradisi tersebut.

Seorang penerima, Norazlina Hassan, 39, berkata, bubur lambuk itu bukan sahaja enak, malah membawa nostalgia Ramadan zaman kanak-kanak.

“Setiap tahun saya memang tunggu program ini. Rasa dia cukup asli, cukup rempah dan paling penting percuma untuk semua,” ujarnya sambil tersenyum.

IMG-20260225-WA0048.jpg 469.63 KB
Dalam pada itu, penganjur memaklumkan menu bubur lambuk yang disediakan menggunakan resipi tradisional negeri dengan campuran ikan, rempah ratus terpilih serta dimasak menggunakan kawah besar bagi mengekalkan rasa asli.

Program berkenaan dilihat bukan sahaja mengeratkan hubungan korporat dan komuniti, malah memperkukuh nilai kebersamaan yang menjadi inti pati Ramadan, sekali gus membuktikan bahawa semangkuk bubur mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.


 


Artikel Berkaitan