lightning-solid
Berita :
45 Alumni Darul Barakah Bangkit Bina Kehidupan Baharu
45 Alumni Darul Barakah Bangkit Bina Kehidupan Baharu
Noraini Jusoh
6 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Seramai 45 alumni Perkampungan Darul Barakah yang pernah mendapat perlindungan di pusat pemulihan dadah holistik itu berjaya bangkit, hasil pendekatan pemulihan dan pemerkasaan dilaksanakan.

Pengerusi Perkampungan Darul Barakah, Nor Alif Mahari berkata, bekas pelatih tersebut kini kembali membina kehidupan baharu dengan bekerja, berkeluarga dan memberi inspirasi serta menjadi rakan bimbingan kepada golongan penagih dadah di lapangan masing-masing.

“Setelah keluar dari sini, alumni kami menceburi pelbagai bidang pekerjaan dan sukarelawan, ada yang menjadi buruh binaan, penyelia tapak, pembimbing rakan sebaya di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ada yang punya syarikat sendiri berkaitan kerja-kerja mengecat.

“Malah, mereka juga kekal berhubung dengan pihak Perkampungan Darul Barakah dan sentiasa menawarkan diri untuk terlibat dengan sebarang program yang dianjurkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Successful Story-Alumni Darul Barakah (Daie) yang disempunakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong di Hotel Grand Continental, di sini, semalam.

Pada program tersebut, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan ucaptama bagi menyuntik kembali semangat serta keyakinan para alumni agar kekal pulih serta mampu menjalani kehidupan bersama masyarakat.
Mengulas lanjut katanya, program pemulihan di Darul Barakah menggabungkan pendekatan konvesional dengan modul psikospritual berasaskan nilai agama.

“Pelatih turut diberikan latihan kemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan, selain dilibatkan dalam aktiviti kemasyarakatan sebagai persediaan untuk kembali menjalani kehidupan secara berdikari.

“Sehingga kini, seramai 403 individu telah mengikuti program rawatan dan pemulihan di Perkampungan Darul Barakah sejak pusat milik kerajaan negeri ini ditubuhkan pada Mei 2021,” ujarnya.
Katanya, beliau menaruh harapan agar alumni Darul Barakah akan menjadi agen perubahan dalam membantu mereka yang masih terlibat dalam penyalahgunaan dadah. 

“Semoga kejayaan alumni ini akan menjadi penyuntik semangat buat semua pelatih yang masih menjalani rawatan dan pemulihan bahawa mereka juga boleh berjaya suatu hari nanti,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan