Berita :
564 Rumah Mampu Milik, Bercampur Dibina di Taman Koperat Siap 2030
564 Rumah Mampu Milik, Bercampur Dibina di Taman Koperat Siap 2030
Adli Mohamad
14 jam yang lepas
173

MARANG, 18 Jun - Sebanyak 564 buah unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan bercampur di Taman Koperat, Kampung Alur Limbat yang dimajukan oleh Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dijangka siap pada tahun 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembangunan rumah terbabit melibatkan jenis A dan B sebanyak 240 buah rumah yang dikategorikan sebagai RMM dan selebihnya merupakan rumah komersial dengan harga yang berpatutan.

"Alhamdulillah hari ini, kita telah sama-sama melihat Majlis Perasmian Rumah Contoh di sini, 

"Saya mengambil peluang untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak KOPERAT yang dalam tempoh tiga dekad telah berjaya merealisasikan impian dengan telah membina lebih 3,000 unit rumah melalui pelbagai projek dari Kemaman sampai lah ke Besut.

"Hari ini dengan 240 unit RMM yang dibina dari jenis A dan B  ini memberi peluang kepada golongan B40 untuk mendapat rumah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Contoh Taman Koperat Alur Limbar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Ariffin Deraman dan Pengerusi KOPERAT, LSr. Zaharuddin Zahid.

Sementara itu, Zaharuddin Zahid berkata, pihaknya optimis 564 unit rumah terbabit akan siap menjelang 2030 secara berfasa.

"Fasa pertama akan siap dalam masa lagi dua tahun, fasa-fasa lain kita yakin dan percaya keseluruhannya akan disiapkan dalam masa sehingga 2030.

"Projek ini bernilai RM170 juta termasuk infrastruktur, berada di lokasi strategik kerana berhampiran dengan Stesen ECRL,"ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan