lightning-solid
Berita :
Baitulmal Perlu Beralih Daripada Bantuan Terus Kepada Pemerkasaan Ekonomi
Baitulmal Perlu Beralih Daripada Bantuan Terus Kepada Pemerkasaan Ekonomi
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
87

KUALA NERUS, 30 Julai – Dana baitulmal perlu distrukturkan semula menerusi integrasi instrumen kewangan sosial dengan beralih daripada pemberian bantuan secara terus kepada usaha pemerkasaan ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, model lama yang bersifat ‘distributive’ iaitu sekadar mengutip dan mengagihkan bantuan sara hidup secara langsung tidak lagi mampan untuk mendepani gelombang ketidaktentuan ekonomi masa kini.

Menurutnya, baitulmal perlu melonjak menjadi sebuah institusi bersifat ‘generative’ yang mampu menjana kekayaan untuk diagihkan semula kepada masyarakat.

“Wang zakat tidak seharusnya habis untuk bantuan makanan bulanan sahaja. Kita perlu menukarkan penerima zakat (asnaf) menjadi pembayar zakat (muzakki) melalui pembiayaan mikro Islam tanpa faedah.

“Usaha itu perlu disokong oleh modal wakaf bagi menyediakan ruang perniagaan dan latihan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, antara pendekatan strategik yang perlu dilaksanakan bagi memperkasakan baitulmal adalah dengan memanfaatkan teknologi ‘blockchain’ dan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, penggunaan teknologi itu penting dalam membina sistem pengurusan baitulmal yang lebih telus, cekap dan merentasi sempadan agensi.

“Integrasi data raya antara institusi agama negeri dengan pangkalan data Persekutuan, termasuk institusi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), amat kritikal bagi mengelakkan ketirisan serta pertindihan bantuan.

“Ketelusan ini secara langsung akan membina semula keyakinan masyarakat untuk menyalurkan dana infak mereka kepada institusi rasmi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan memperkasakan wakaf berimpak tinggi menerusi perkongsian antara sektor awam, swasta dan institusi agama.

“Pihak berkuasa agama tidak boleh bergerak secara berasingan. Kita perlu membuka ruang kepada instrumen korporat.

“Melalui penerbitan instrumen seperti sukuk wakaf atau dana pelaburan baitulmal, kita boleh menjemput syarikat korporat dan institusi perbankan Islam untuk melabur dalam projek pembangunan infrastruktur sosial serta alam sekitar seperti hospital komuniti.

“Selain itu, pendekatan tersebut dapat mewujudkan perumahan mampu milik, hab pendidikan asnaf dan akses kepada tenaga hijau yang berdaya mampan serta ekonomik.

“Pendekatan ini selari dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kini menjadi keutamaan global,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan