MARANG, 13 Mac – Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS, menegaskan bahawa penentuan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen tidak boleh diputuskan secara individu, sebaliknya perlu melalui perbincangan bersama pimpinan parti dan Ahli Parlimen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, perkara tersebut perlu menghormati peraturan serta hak Ahli Parlimen sebagaimana yang termaktub dalam peraturan Parlimen.
“Perkara ini mengikut Standing Order Parlimen, termasuk hak Ahli Parlimen untuk menentukan siapa Ketua Pembangkang, bukan sekadar keputusan parti semata-mata. Kita akan ambil kira pandangan parti dan pandangan Ahli-ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kuliah Dhuha di Marang, pagi tadi.
Mengulas sama ada PAS bersedia memegang jawatan tersebut, beliau menjelaskan bahawa perkara itu masih terbuka dan bergantung kepada hasil perbincangan bersama dalam kalangan pimpinan serta Ahli Parlimen PN.
“Itu terpulang kepada perbincangan. Kita mahu mengukuhkan Perikatan Nasional, bukan mengecilkannya. Kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh Ahli Parlimen. Yang penting adalah memperkasakan PN,” jelasnya lagi.
Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengulas mengenai pendirian PAS yang tidak bersama gagasan yang digelar sebagai 'rumah bangsa'.
Menurutnya, PAS tidak boleh menyertai mana-mana kerjasama politik yang tidak berpegang kepada prinsip yang jelas.
Katanya, sesebuah perjuangan politik mesti berteraskan prinsip agama, bangsa dan tanah air, sebagaimana yang pernah diperjuangkan oleh United Malays National Organisation (UMNO).
“Rumah yang tiada prinsip tidak boleh kita duduk bersama. Bahkan ada yang sudah lari daripada prinsip asal. Dahulu perjuangan itu atas dasar agama, bangsa dan tanah air. Tetapi apabila agama diketepikan dan matlamat hanya untuk menang pilihan raya semata-mata, itu bukan perjuangan yang sebenar,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, PAS akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dan memastikan setiap kerjasama politik yang dijalinkan tidak lari daripada asas tersebut.
Tag :