lightning-solid
Berita :
CEFORE UMT Dipilih Program Pembiayaan Iklim Nasional
CEFORE UMT Dipilih Program Pembiayaan Iklim Nasional
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
54

KUALA NERUS, 30 Julai – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah memperkukuh agenda peralihan tenaga negara apabila Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE) dipilih menyertai Climate Finance Innovation Lab (CFIL) Accelerator Programme sekali gus meletakkan universiti itu dalam kelompok projek berpotensi tinggi yang bakal memacu pembangunan teknologi tenaga boleh baharu dan pembiayaan iklim di Malaysia.

Program berprestij yang diterajui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan sokongan Bank Negara Malaysia itu bertujuan mempercepat pembangunan penyelesaian pembiayaan iklim yang inovatif bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai ekonomi sifar bersih (net zero), meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim serta memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dilancarkan sempena Sasana Symposium 2026 di Bank Negara Malaysia, CFIL Accelerator Programme menghimpunkan projek-projek berimpak tinggi dari seluruh negara untuk mengikuti program inkubator selama 12 bulan yang memberi penekanan kepada pembangunan model perniagaan, strategi pembiayaan, inovasi, kebolehpasaran dan pengkomersialan teknologi.

Lebih membanggakan, CEFORE berjaya melepasi proses saringan yang kompetitif apabila dipilih ke peringkat pembentangan sebelum layak menyertai program tersebut daripada keseluruhan 22 pasukan yang bertanding.

Pengarah CEFORE UMT, Profesor Madya Dr. Mohd Asamudin A. Rahman berkata, pencapaian itu membuktikan penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan oleh universiti bukan sahaja mencapai standard akademik yang tinggi, malah mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada industri dan negara.

"Pemilihan CEFORE ke dalam CFIL Accelerator Programme merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidik UMT dalam menghasilkan teknologi tenaga boleh baharu luar pesisir yang berdaya saing serta memenuhi keperluan agenda kelestarian negara. Ia membuktikan bahawa penyelidikan universiti mampu menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi hijau melalui pendekatan inovasi yang boleh dikomersialkan," katanya.

Beliau berkata, penyertaan itu membuka ruang kepada CEFORE untuk mengakses ekosistem pembiayaan iklim yang lebih kukuh, selain memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi kewangan, agensi kerajaan, pelabur dan pemain industri bagi mempercepat pembangunan projek tenaga boleh baharu luar pesisir.

"Ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan kami, malah menjadi titik permulaan kepada fasa baharu pembangunan CEFORE. Fokus kami selepas ini ialah mempercepat pengkomersialan teknologi, memperkukuh kerjasama rentas sektor dan membangunkan model pembiayaan yang mampan supaya inovasi yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada impak sebenar kepada masyarakat, industri dan negara," katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu juga selaras dengan aspirasi UMT untuk terus menerajui penyelidikan strategik dalam bidang kelautan, tenaga boleh baharu dan kelestarian, sekali gus menyumbang kepada agenda peralihan tenaga Malaysia serta memperkukuhkan kedudukan negara sebagai hab inovasi teknologi hijau di rantau ini.

Penyertaan CEFORE dalam CFIL Accelerator Programme dijangka mempercepat pembangunan teknologi tenaga boleh baharu luar pesisir yang dibangunkan UMT, selain membuka peluang kepada model pembiayaan yang lebih inovatif dan memperkukuhkan ekosistem penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan yang menyokong pembangunan ekonomi rendah karbon negara.


Tag :

Artikel Berkaitan