Jalur Gemilang
Berita :
Deklarasi Kota Bharu Satukan Ummah, Garis 10 Tindakan Bela Palestin
Deklarasi Kota Bharu Satukan Ummah, Garis 10 Tindakan Bela Palestin
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
54

KOTA BHARU, 7 September – Muslim Ummah International Forum 2026 (MUNIF 2.0) sebulat suara memeterai Deklarasi Kota Bharu yang berteraskan iltizam bersama ke arah mencapai matlamat hakiki pembebasan Palestin menerusi 10 ketetapan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, antara perkara yang diputuskan menerusi deklarasi tersebut ialah mengetepikan perbalahan mazhab demi solidariti mempertahankan Iran dan membebaskan Palestin.

“Menegaskan bahawa perselisihan sektarian tajaan imperialis mesti dihentikan serta-merta kerana keutamaan tertinggi (Fiqh al-Aulawiyyat) hari ini ialah menyelamatkan bumi Palestin. Justeru, seluruh dunia Islam perlu menggembleng kesatuan saf tanpa syarat.

“Bersolidariti bersama Iran bagi meruntuhkan hegemoni projek settler-colonialism Zionis di Palestin serta memperakui peranan strategik Iran dalam mempertahankan Palestin dan merakamkan pengiktirafan terbuka terhadap komitmen berterusan Republik Islam Iran.

“Ini kerana Iran secara konsisten menyalurkan dokongan ketenteraan, politik dan logistik kepada pejuang Palestin ketika sebahagian negara memilih jalur normalisasi. Ketahanan dan keupayaan pertahanan mandiri ini membuktikan bahawa keberanian bersenjata ialah instrumen ampuh mengekang keangkuhan penjajah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MUNIF 2.0 yang diadakan di Hotel Perdana, di sini, baru-baru ini.

Katanya, antara perkara lain yang turut dimeterai ialah membentuk sinergi strategik melibatkan kekuatan Asia Tenggara dan Timur Tengah melalui gerakan Islam bagi membina blok kuasa imbang.

“Ketegasan diplomasi Nusantara seperti larangan kemasukan kapal maritim Zionis wajar digembleng bersama ketahanan barisan hadapan demi mencabar dwistandard kuasa hegemoni global.

“Seterusnya, memperkasa mobilisasi bantuan kemanusiaan dan kewangan kalis sekatan dengan menyeru konsolidasi dana ekonomi kemanusiaan antarabangsa secara bersistem dan berintegriti, di samping mendesak pembinaan ekosistem perbankan Islam.

“Turut digariskan ialah penyediaan laluan logistik alternatif yang kalis sekatan bagi mematahkan manipulasi bantuan asas sebagai senjata perang, sekali gus menjamin kebajikan keluarga syuhada dan pembinaan semula Gaza,” jelas beliau.

Dari sudut menguasai perang persepsi dan melawan propaganda Zionis, tegasnya, gerakan massa dan pemuda Islam diwajibkan menggerakkan ‘jihad penerangan’ dengan menguasai media sosial alternatif serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memecahkan naratif dan propaganda Zionis.

“Menuntut bela atas pembunuhan para wartawan dan mendedahkan hakikat jenayah perang secara masa nyata.

“Seterusnya, melanjutkan perang ekonomi menerusi gerakan boikot berterusan dengan mendorong pelaksanaan kempen boikot secara meluas dan berterusan serta mentransformasikan kuasa pengguna menjadi peperangan ekonomi.

“Langkah ini terbukti menjejaskan struktur kewangan korporat pro-Zionis serta memaksa penarikan pelaburan berskala besar daripada ekosistem ekonomi Zionis,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, bagi mendaulatkan kesucian Masjid Al-Aqsa sebagai garis merah ummah, katanya, semua delegasi yang hadir pada MUNIF bersetuju mengisytiharkan status kesucian institusi tersebut dan kota suci Baitulmaqdis sebagai benteng akidah.

“Garis merah yang haram dikompromi. Sebarang pencerobohan mahupun cubaan membahagikan kawasan ibadah oleh pelampau Zionis dinilai sebagai pengisytiharan permusuhan terbuka terhadap 1.9 bilion umat Islam sedunia.

“Antara perkara lain yang turut dimeterai ialah mengheret para penjenayah perang ke mahkamah antarabangsa dengan menyokong gerakan mahasiswa dan intelektual rentas benua untuk disambut oleh barisan peguam serta cendekiawan melalui perang perundangan.

“Tindakan mendakwa pemimpin rejim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mesti diperhebat agar penjenayah diheret ke muka pengadilan,” ujarnya.

Jelasnya, usaha mengoptimumkan laluan laut dan sumber tenaga sebagai tekanan politik turut dimeterai bagi menuntut pemanfaatan kelebihan geostrategik dunia Islam, khususnya kawalan laluan maritim antarabangsa serta sumber minyak dan gas sebagai instrumen tekanan politik.

“Keberkesanan sekatan perkapalan di Laut Merah membuktikan bahawa tindakan maritim berupaya melumpuhkan rantaian bekalan musuh dan memaksa kuasa besar tunduk kepada keadilan.

“Akhirnya, membentuk Sekretariat Tindakan Khas Pasca-MUNIF 2.0 yang efektif dengan memuktamadkan penubuhan sekretariat pasca-MUNIF secara rasmi bagi memastikan resolusi tidak terhenti di sini.

“Sekretariat tetap ini diberi mandat memacu gerak kerja lapangan merangkumi tindakan perundangan, pemantauan boikot, penyelamatan misi kemanusiaan, pendidikan generasi muda dan kempen diplomasi awam berimpak tinggi,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan