Jalur Gemilang
Berita :
EPIC Berhad Raih Kontrak Sokongan Marin Operasi Medan Minyak Banang
EPIC Berhad Raih Kontrak Sokongan Marin Operasi Medan Minyak Banang
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
124

KUALA LUMPUR, 3 September — EPIC Berhad menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB), memperoleh kontrak daripada PETRA Energy Development Sdn Bhd (PEDSB) bagi menyediakan dua kapal tunda luar pesisir untuk menyokong operasi di Medan Minyak Banang.

EPIC Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontrak itu melibatkan penyediaan kapal tunda berkapasiti daya tarikan (bollard pull) antara 50 hingga 60 tan metrik (MT).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan KPKSB dalam memenuhi keperluan sokongan operasi luar pesisir.

“Melalui kerjasama ini, pihak kami akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman operasi marin syarikat untuk memberikan perkhidmatan sokongan kapal tunda luar pesisir yang cekap bagi operasi di Medan Minyak Banang,” katanya.

Majlis menandatangani kontrak berkenaan berlangsung sempena acara Oil and Gas Asia (OGA) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam majlis tersebut, dokumen kontrak ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PEDSB, Richard Chia dan Pengurus Besar Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin EPIC Berhad, Kapten Mohd Kamarul Mamat.

Ia disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dato’  Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, Dr. Ts. Muhtar serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRA Energy, Mohamad Subky Bustari.

Menurut Epic Berhad,
di bawah kontrak itu, KPKSB akan menyediakan sebuah kapal tunda luar pesisir utama sebagai kapal sokongan siaga (standby vessel) bagi tempoh awal 934 hari, dengan pilihan dua lanjutan masing-masing selama 365 hari.

Katanya, sebuah lagi kapal tunda sekunder pula akan disediakan sebagai kapal bantuan pengangkutan keluar (assist offtake vessel) selama 100 hari berdasarkan keperluan (call-out basis), tertakluk kepada terma dan syarat kontrak.

Dalam masa sama, Dr Ts Muhtar berkata perkhidmatan sokongan marin yang boleh dipercayai penting bagi memastikan kelangsungan operasi luar pesisir, khususnya dalam aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi.

Beliau berkata kontrak berkenaan turut mengukuhkan penglibatan KPKSB dalam sektor perkhidmatan marin dan sokongan luar pesisir.

“Pada masa sama, ia memperkukuh kedudukan Kemaman sebagai hab maritim dan sokongan luar pesisir yang strategik di Pantai Timur Malaysia, selaras dengan pelan pembangunan Pelabuhan Kemaman,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan