Jalur Gemilang
Berita :
TDM Agrobiz Meterai Tiga Perjanjian Perkasa Sektor Agromakanan
TDM Agrobiz Meterai Tiga Perjanjian Perkasa Sektor Agromakanan
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
162

KUALA LUMPUR, 3 September – TDM Agrobiz Sdn. Bhd., anak syarikat TDM Berhad, memperkukuh kedudukan dalam sektor agromakanan menerusi pemeteraian tiga perjanjian strategik sempena Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026, di sini hari ini.

Kerjasama bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad, MCT Agriculture Sdn. Bhd. dan Z&Z Niaga Sdn. Bhd. itu dijangka membuka lebih banyak akses pasaran, selain memperkukuh rantaian bekalan serta kestabilan harga hasil pertanian tempatan.

Ahli Lembaga Pengarah TDM, Bakri Jamaluddin berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kumpulan untuk menjadikan sektor agrobiz sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperluas akses pasaran, malah menyokong pembangunan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, stabil dan mampan.

“TDM komited membangunkan model kerjasama yang boleh diperluaskan, sekali gus memberi manfaat kepada rakan industri, komuniti petani dan ekosistem pertanian secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Sri Norazman Ayob, Pengerusi FAMA,  Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus serta Ketua Pengarah FAMA.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Mydin, TDM Agrobiz akan membekalkan hasil pertanian segar secara terus ke rangkaian pasar raya Mydin di seluruh negara.

Tambah TDM, kerjasama tersebut juga turut meliputi aspek pengedaran, pematuhan piawaian kualiti, pengurusan rantaian sejuk serta strategi harga dan promosi yang kompetitif.

Sementara itu, MoU bersama MCT Agriculture memberi tumpuan kepada pemasaran dan pengedaran produk pertanian segar, khususnya Melon Manis Terengganu, termasuk usaha memperluas penembusan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.

TDM Agrobiz turut memeterai Perjanjian Jual Beli dengan Z&Z Niaga bagi pembekalan cili secara pukal pada harga tetap RM10 sekilogram untuk cili Gred A dan Gred B.

Menurut TDM, mekanisme tersebut bukan sahaja menawarkan kestabilan harga, malah berpotensi menjadi model kerjasama baharu yang boleh diperluaskan kepada rakan pasaran lain.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),  Faisal Iswardi Ismail berkata, inisiatif TDM Agrobiz selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal stabil dan berdaya saing, selain membuka peluang kepada produk tempatan menembusi pasaran lebih luas.

"Pemeteraian ketiga-tiga perjanjian itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 8 berkaitan pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi melalui peluasan peluang pasaran serta pengukuhan aktiviti ekonomi dalam sektor agromakanan," menurut kenyataan tersebut.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan