lightning-solid
Berita :
Kelibat Gajah Gusarkan Penduduk Felda Chalok
Kelibat Gajah Gusarkan Penduduk Felda Chalok
Ariss Alias
1 jam yang lepas
35

SETIU, 19 Ogos - Kelibat seekor gajah yang dipercayai berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Felda Chalok di sini menimbulkan kebimbangan penduduk. 

Kebimbangan itu bertambah selepas penemuan najis gajah di belakang kedai makan AZ Seafood, selain rakaman video penduduk menunjukkan haiwan berkenaan merayau di kawasan ladang sawit. 

Penduduk kampung, Azriman Aziz berkata kehadiran gajah berkenaan menyebabkan dia gusar dan takut untuk menjalankan kerja di ladang sawit kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar itu. 

“Memang kami risau dan takut untuk masuk ke kebun seperti biasa. Kita tidak tahu bila gajah itu akan muncul dan keadaan ini boleh membahayakan keselamatan penduduk,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Seri Rahmat, Nordin Jusoh berkata pihaknya sudah mengambil langkah awal dengan membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kehadiran gajah berkenaan. 

“Kita sudah maklumkan perkara ini kepada Perhilitan dan berharap kakitangan mereka dapat datang dengan segera untuk memantau serta mengambil tindakan sewajarnya sebelum haiwan itu merosakkan tanaman penduduk. 

“Kita juga bimbang keselamatan penduduk terancam sekiranya gajah itu terus berkeliaran di kawasan ladang,” katanya. 

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan tidak cuba mendekati atau mengganggu gajah sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.


Tag :

Artikel Berkaitan