lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026 : Zarif-Hazim Hadiah Emas Buat Terengganu
SUKMA 2026 : Zarif-Hazim Hadiah Emas Buat Terengganu
Ariss Alias
1 jam yang lepas
51

Gandingan Terengganu, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan dan Ahmad Hazim Syahmi Nik Mat, meraih emas acara beregu lelaki tenpin boling pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Sunway Mega Lanes, semalam.

Mereka mengumpul 2,651 jatuhan pin untuk menewaskan pasangan Wilayah Persekutuan, Muhammad Harits Helmi Azhar-Muhammad Fauzul Aziem Norkamal, dengan kelebihan 12 pin. Pingat gangsa menjadi milik Pulau Pinang dengan 2,579 pin.

Kejayaan itu cukup manis buat Zarif, 19, yang bangkit kurang 24 jam selepas menamatkan saingan perseorangan lelaki di tempat kesembilan tanpa pingat. Beliau mencatat 1,345 pin menerusi enam permainan dengan jatuhan 210, 202, 245, 216, 243 dan 229 pin.

Bagi Hazim, 21, kejayaan itu lebih bermakna kerana ia merupakan emas SUKMA pertama dalam penampilan terakhirnya di temasya berkenaan. Pasangan itu turut tidak mengetahui mereka muncul juara sehingga dimaklumkan jurulatih selepas balingan terakhir.

Keserasian kedua-dua pemain terbina sejak mereka mengenali satu sama lain di peringkat junior di Kuala Terengganu. Mereka turut berlatih bersama sebagai persiapan menghadapi acara beregu, selain pernah menjadi rakan sepasukan Terengganu pada SUKMA 2022 dan 2024.

Zarif dan Hazim akan meneruskan cabaran dalam acara bertiga dan berpasukan hari ini dengan sasaran membantu Terengganu menambah kutipan pingat.


Tag :

Artikel Berkaitan