Berita :
Kemaman Juara Pelita Raya 2026
Kemaman Juara Pelita Raya 2026
Mohd Irsyadi Abu Bakar
22 jam yang lepas
892

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Daerah Kemaman dinobatkan sebagai juara pertandingan Pelita Raya 2026 yang berakhir  semalam.

Selaras tema tahun ini 'Warisan Pelita Penyuluh Perpaduan', Kemaman menampilkan reruai yang diberi nama Cahaya Nostalgia Tiga Kampung.

Pegawai daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun berkata, pihaknya yang diperkuat dengan 40 petugas memperkenalkan tiga buah kampung (kg) mewakili tiga kaum utama iaitu Kg Tuan, Kg Baru Ayer Jerneh dan Kg Jabor Estate.

"Gabungan ini meruoakan kekuatan kita sebenarnya. 

"Apabila kita bawa konsep ini ke (reruai) Kemaman, kita tonjolkan dari segi reka bentuk pintu gerbangnya dan variasi pelita masing-masing.

"Ia menimbulkan elemen perpaduan yang kuat yang akhirnya memberi kemenangan kepada kita.

"Alhamdulillah, syukur dengan kemenangan kita bersama hasil kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman dan Jabatan Kerja Raya Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas dianugerahkan gelaran juara yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris.

Kemaman membawa pulang hadiah cek cura bernilai RM6,000, trofi kejuaraan dan sijil penghargaan.
Tempat kedua menjadi milik daerah Kuala Terengganu yang menerima hadiah cek cura bernilai RM4,000.

Manakala, Marang meraih tempat ketiga dengan hadiah cek cura RM2,000.

Bagi kategori agensi dan anak syarikat, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) muncul juara diikuti Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) di tempat kedua.

Tempat ketiga pula menjadi milik Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan