lightning-solid
Berita :
Kerajaan Terengganu Perkasa 92 Institusi Tahfiz, Kukuh Ekosistem Pendidikan al-Quran
Kerajaan Terengganu Perkasa 92 Institusi Tahfiz, Kukuh Ekosistem Pendidikan al-Quran
Adli Mohamad
2 jam yang lepas
137

KUALA TERENGGANU, 3 Mac – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh ekosistem pendidikan al-Quran apabila memberi perhatian khusus kepada 81 buah sekolah tahfiz swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), 10 buah sekolah yang melaksanakan program tamayyuz serta sebuah sekolah tahfiz negeri.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, institusi pendidikan di bawah seliaan Kerajaan Negeri itu memainkan peranan penting dalam menawarkan aliran tahfiz yang memberi ruang kepada pelajar mendalami hafazan serta pengajian al-Quran secara lebih sistematik dan tersusun.

Menurut beliau, selain sekolah di bawah seliaan kerajaan, institusi tahfiz swasta turut diberikan perhatian melalui JPINT dengan pelbagai bentuk sokongan yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan serta kecemerlangan institusi tersebut.

“Usaha ini merupakan langkah berterusan Kerajaan Negeri untuk mendekatkan hati masyarakat kepada al-Quran, menyuburkan budaya hafazan serta memastikan sekolah dan institusi tahfiz terus berkembang dengan cemerlang.

“Kerajaan percaya pendidikan al-Quran adalah pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti, khususnya dalam menghadapi cabaran akhir zaman yang menuntut umat Islam kembali berpegang teguh kepada panduan wahyu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Nurul Quran di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut memetik Surah Al-Ankabut ayat 69 yang menegaskan bahawa kejayaan melahirkan generasi al-Quran tidak akan tercapai tanpa kesungguhan dan keikhlasan.

“Generasi yang sentiasa mendampingi al-Quran akan berada di bawah bimbingan Allah SWT menuju kebenaran.

“Sebagai penutup, saya menyeru seluruh rakyat Negeri Terengganu agar menjadikan Ramadan tahun ini sebagai momentum perubahan untuk lebih mendekati al-Quran.

“Bukan sekadar membacanya, tetapi turut memahami, mentadabbur serta mengamalkan setiap ajarannya dalam kehidupan diri dan keluarga,” ujar beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan