Berita :
Kerap Berlaku Kemalangan, Laluan ECRL Sungai Bari, Simpang Kenyir Kini Dalam Perhatian
Kerap Berlaku Kemalangan, Laluan ECRL Sungai Bari, Simpang Kenyir Kini Dalam Perhatian
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
22 jam yang lepas
63

SETIU, 19 Jun – Kekerapan kes kemalangan di kawasan jejantas ECRL Sungai Bari dan simpang ke Tasik Kenyir sejak kebelakangan ini terus mendapat perhatian serius demi keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Insiden terbaharu pada 2 Jun lalu di kawasan ECRL Sungai Bari yang mengakibatkan kecederaan beberapa mangsa, jelas menuntut langkah pencegahan yang lebih agresif.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir memaklumkan, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai keadaan laluan di kawasan tersebut yang agak mengelirukan dan berisiko tinggi.

Bertindak atas aduan tersebut, beliau telah memanjangkan isu berkenaan kepada pihak Malaysia Rail Link (MRL) untuk tindakan segera.

“Hasil tindakan awal, satu lorong kini telah dibuka dan lampu jalan juga sudah dipasang di kawasan tersebut bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa aspek yang perlu diperhalusi dan ditambah baik bagi memastikan risiko kemalangan dapat diminimumkan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian selepas turun padang mengadakan tinjauan di lokasi berkenaan bersama wakil MRL dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), baru baru ini.

Tinjauan itu dilakukan bagi melihat sendiri senario sebenar di tapak binaan serta merangka pelan tindakan tambahan demi keselamatan optimum semua pihak yang menggunakan laluan tersebut.

Beliau menegaskan, isu ini akan terus dipantau rapat dan berharap baki tindakan susulan dapat diselesaikan secepat mungkin oleh pihak berkaitan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan