Khalifah Utama Gerak Kamilah Disaran Terus Perkasa Aktiviti Kebajikan, Pembangunan Belia
Ariss Alias
12 jam yang lepas
25
KUALA NERUS, 9 Ogos - Pertubuhan Kebajikan Khalifah Utama Gerak Kamilah Malaysia disaran terus memperkasakan aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan anak muda demi memberi manfaat kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit Tuan Shafizi Ismail berkata pertubuhan berkenaan juga berperanan penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berakhlak serta mempunyai kecintaan terhadap seni persilatan.

Beliau berkata usaha berterusan menerusi aktiviti kebajikan dan persilatan mampu menjadi wadah positif dalam membimbing golongan muda, selain mengukuhkan hubungan antara masyarakat.
"Saya berharap pertubuhan silat dan NGO ini terus berkembang maju serta istiqamah dalam melaksanakan aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan anak-anak muda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penyarungan Selempang dan Penyampaian Watikah Pelantikan NGO dan Silat Pertubuhan Kebajikan Khalifah Utama Gerak Kamilah Malaysia di Dewan Quinara Al Safir, Tok Jembal, di sini malam tadi.
Shafizi berkata pertubuhan itu diharap terus menjadi platform yang membawa manfaat kepada masyarakat menerusi pelbagai program yang mampu menyatukan komuniti serta membina sahsiah golongan muda.
Katanya, seni persilatan bukan sekadar membentuk kekuatan fizikal, malah dapat menerapkan nilai disiplin, ketahanan diri, kerjasama dan rasa hormat dalam kalangan pengamalnya.
"Insya-Allah, semoga terus menjadi wadah yang membawa manfaat kepada masyarakat dan melahirkan generasi yang berdisiplin, berakhlak serta cintakan seni persilatan," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan dan ahli Pertubuhan Kebajikan Khalifah Utama Gerak Kamilah Malaysia atas penganjuran majlis berkenaan serta berharap mereka terus komited melaksanakan amanah yang diberikan.
Shafizi turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pertubuhan itu dan berharap segala usaha yang dilaksanakan dapat memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam membangunkan potensi anak-anak muda.