KEMAMAN, 9 Ogos – Program Yang Berhormat Cakna Komuniti (YBCK) 4.0 mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 700 peserta dan pengunjung di Padang Bola Kampung Pengkalan Binjai, di sini, sekali gus menjadikannya edisi paling meriah sejak diperkenalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan masyarakat Mukim Binjai mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi serta sentiasa memberikan sokongan terhadap program berteraskan komuniti.
Menurutnya, YBCK bukan sekadar program santai bersama rakyat, sebaliknya menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin, agensi dan masyarakat selain memberi ruang kepada penduduk mendapatkan maklumat serta menyuarakan pandangan secara terus.

“Kita mahu YBCK menjadi medan untuk kita turun padang, mendengar suara rakyat dan memahami keperluan mereka. Dalam masa yang sama, kita dapat memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan pemimpin serta agensi yang terlibat,” katanya.
Pelbagai aktiviti turut dianjurkan sepanjang program, antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, bola beracun, siapa cepat, rebut coklat, kukur nyiur, kupas epal, sepak penalti dan junior penalty shootout yang mendapat sambutan pelbagai peringkat umur.

Turut menjadi tumpuan ialah pertandingan Basikal Berhias bertemakan Kemerdekaan yang menyaksikan peserta menghias basikal masing-masing dengan Jalur Gemilang dan elemen kenegaraan.
Mohd Hafiz berkata, penganjuran aktiviti bersempena Bulan Kebangsaan itu penting dalam menyemai semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu anak-anak dan keluarga bukan sahaja datang untuk berseronok, tetapi turut menghayati semangat kemerdekaan. Aktiviti seperti basikal berhias ini menjadi salah satu cara untuk kita menyemai rasa cinta kepada negara dalam suasana yang santai dan dekat dengan masyarakat,” katanya.
Selain aktiviti komuniti, pengunjung turut berpeluang mengunjungi pameran agensi serta menyaksikan demonstrasi CPR dan bantuan kecemasan tercekik (choking) yang memberi pendedahan berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Persatuan Profesionalis Kesihatan Islam Malaysia (PAPISMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah Kemaman, Unifi dan Darul Syifa.
Dalam pada itu, program turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong komuniti serta ziarah kebajikan di beberapa lokasi sekitar Mukim Binjai.
Menurut Mohd Hafiz, pengisian tersebut membuktikan YBCK bukan sekadar program sehari, sebaliknya turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan keperluan masyarakat setempat.
“Kita mahu program seperti ini meninggalkan kesan kepada masyarakat. Sebab itu selain aktiviti riadah dan pertandingan, kita turut adakan gotong-royong serta ziarah kebajikan supaya kita dapat melihat sendiri keadaan dan keperluan penduduk,” katanya.