lightning-solid
Berita :
 Paya Bunga Hotel Terus Unggul, Rangkul Hotel Mesra Muslim Terbaik
Paya Bunga Hotel Terus Unggul, Rangkul Hotel Mesra Muslim Terbaik
Mastura Jamal Din
19 jam yang lepas
197

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Paya Bunga Hotel terus meniti pentas kecemerlangan hospitaliti negara apabila dinobatkan sebagai Best Muslim Friendly City Hotel pada Malam Gala Tourism Industry Award 2026 (TIA2026), semalam.

 Pengiktirafan berprestij itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Paya Bunga Hotel sebagai antara hotel bandar terkemuka dalam segmen hospitaliti mesra Muslim, selain membuktikan keupayaan hotel kelahiran Terengganu itu bersaing di peringkat nasional.

 Lebih membanggakan, kejayaan tersebut hadir tidak lama selepas Paya Bunga Hotel menerima pengiktirafan Malaysia Friendly Association & Recognition (MFAR) bertaraf Platinum, sekali gus menjadikan dua pengiktirafan berkenaan sebagai pencapaian penting dalam usaha hotel memperkukuh jenama hospitaliti mesra Muslim.

 Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Zulkifly Mohd Yusof berkata, pengiktirafan itu merupakan hasil usaha berterusan seluruh warga kerja hotel dalam memastikan setiap aspek perkhidmatan diberikan perhatian.

 “Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian kepada Paya Bunga Hotel, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen seluruh warga kerja kami yang sentiasa berusaha memberikan pengalaman hospitaliti terbaik kepada setiap tetamu.

 “Selepas menerima MFAR Platinum, kejayaan di TIA2026 ini menjadi satu lagi motivasi untuk kami terus memperkukuhkan standard hotel sebagai sebuah destinasi hospitaliti mesra Muslim yang bukan sahaja memenuhi keperluan tetamu, malah mampu bersaing di peringkat nasional,” katanya.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC (Pelancongan), Chua Choon Hwa, kepada Zulkifly pada Malam Gala TIA2026 yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 TIA2026 merekodkan sebanyak 133 anugerah, sekali gus menjadi antara platform penting dalam mengiktiraf kecemerlangan pemain industri pelancongan dan perhotelan negara.

 Majlis tersebut menghimpunkan pemimpin industri, agensi kerajaan, pemain serta pemegang taruh sektor pelancongan, wakil media dan rakan korporat dari seluruh negara.

 Turut hadir meraikan kejayaan Paya Bunga Hotel ialah Pengerusi Ahli Lembaga Paya Bunga Hotel, Ahmad Shah Muhamed, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT,  Abdul Hadi Alias.

 Menurutnya, kejayaan menerima MFAR Platinum sebelum ini turut menjadi pemangkin kepada Paya Bunga Hotel untuk terus meningkatkan standard perkhidmatan dan memperkukuh identitinya sebagai hotel mesra Muslim yang berdaya saing.

 Zulkifly berkata, konsep hotel mesra Muslim tidak seharusnya dilihat hanya berdasarkan penyediaan kemudahan tertentu, sebaliknya merangkumi keseluruhan pengalaman yang dinikmati tetamu sepanjang berada di hotel.

 Katanya, aspek keselesaan, kebersihan, perkhidmatan, makanan dan minuman serta persekitaran yang bersesuaian dengan keperluan pelancong Muslim menjadi antara perkara yang diberi perhatian Paya Bunga Hotel.

 “Bagi kami, mesra Muslim bukan sekadar menyediakan kemudahan tertentu. Ia melibatkan keseluruhan pengalaman tetamu, daripada perkhidmatan dan keselesaan sehinggalah aspek kebersihan, makanan serta persekitaran hotel,” ujarnya lagi.

 Kejayaan tersebut dilihat mampu memperkukuh lagi aspirasi Paya Bunga Hotel untuk menjadi antara pilihan utama penginapan bandar di Terengganu, selain menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

 Dengan dua pengiktirafan dalam segmen hospitaliti mesra Muslim, Paya Bunga Hotel kini memasang tekad untuk terus memperkasa inovasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengekalkan standard hospitaliti yang mampu memenuhi kehendak pelancong masa kini.

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan