KUALA TERENGGANU, 4 April – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru orang ramai khususnya golongan muda agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan kesetiaan dalam usaha memperkukuh kekuatan politik Melayu di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program konvoi anak muda sempena Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang turut menghimpunkan beberapa Menteri Besar lain termasuk dari Terengganu, Kelantan dan Perlis.
Menurut beliau, program tersebut mencerminkan kesepaduan dan kebersamaan yang perlu dipelihara dalam kalangan rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dari jauh dan dekat bagi menyatakan kesetiaan serta kebersamaan dalam menjayakan program ini,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan peserta agar sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan sepanjang program berlangsung bagi memastikan ia berjalan lancar serta menjadi contoh kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa masa depan politik negara akan ditentukan oleh majoriti rakyat, khususnya orang Melayu.
Katanya, hanya Perikatan Nasional dilihat sebagai wadah yang mampu membawa perubahan dan menyelamatkan negara.
“Tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya umum, dan inilah kekuatan yang kita bina di Terengganu untuk menawan Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan konvoi yang disertai peserta dari pelbagai lokasi sebagai titik permulaan kepada gerakan lebih besar dalam usaha memperkukuh kedudukan politik gabungan tersebut.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru rakyat agar bersama-sama bangkit demi masa depan negara.
“Ayuh selamatkan Malaysia,” katanya.
Tag :