Berita :
Nelayan Pantai, Sungai Bakal Selesa: Pembinaan Jeti Beris Tok Ku Bermula
Nelayan Pantai, Sungai Bakal Selesa: Pembinaan Jeti Beris Tok Ku Bermula
Hidayah Azlin
11 jam yang lepas
81

SETIU , 4 Jun– Impian komuniti nelayan di Pengkalan Beris Tok Ku untuk menikmati kemudahan yang lebih kondusif bakal menjadi kenyataan apabila kerja-kerja pembinaan jeti pendaratan ikan baharu di kawasan berkenaan kini telah bermula.

Projek infrastruktur penting itu direalisasikan sepenuhnya menerusi pembiayaan dan peruntukan bajet daripada Kerajaan Negeri Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan kebajikan golongan nelayan. 

Menurutnya, penyediaan fasiliti yang sempurna adalah kritikal bagi memastikan proses berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan dapat dilakukan dengan lebih selamat dan cekap.

"Ini adalah usaha berterusan kita bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur berlabuh dan mendarat bagi para nelayan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menjelaskan bahawa Jeti Beris Tok Ku mempunyai keistimewaan tersendiri yang jarang ditemui di lokasi lain. 

Jelas beliau, infrastruktur baharu itu dibina berasaskan konsep 'kongsi guna' yang bakal memberi manfaat serentak kepada dua kelompok nelayan berbeza di daerah tersebut.

"Jeti Beris Tok Ku agak unik kerana ia dikongsi guna bersama antara nelayan pantai dan nelayan sungai," tambah beliau lagi. 

Pembinaan jeti ini dijangka mampu merancakkan lagi sektor ekonomi setempat, khususnya dalam rantaian bekalan makanan laut dan sungai, selain memberikan keselesaan jangka masa panjang kepada komuniti nelayan Setiu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan