Berita :
Peniaga Didakwa Pandu Merbahaya, Sebabkan Kematian Remaja
Peniaga Didakwa Pandu Merbahaya, Sebabkan Kematian Remaja
Mohd Irsyadi Abu Bakar
14 jam yang lepas
147

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Seorang peniaga dituduh di Mahkamah Majistret kerana memandu secara merbahaya dan menyebabkan kematian di Jalan Losong Feri, bulan lalu.

Tertuduh, Asrizal Hisham Khalid, 43, didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shaha Amir Shariffuddin kerana memandu secara merbahaya di Jalan Losong Feri hingga menyebabkan kematian Wah Han Keong, 18, di tempat kejadian, jam 3.36 petang pada 19 Mei lalu.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ameena Azzuhriyyah Ahmad.

Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah sebelum mahkamah memutuskan lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian Mei lalu, kereta Volkswagen Golf GTI dipandu tertuduh hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum merempuh Van Nissan Vanette di laluan bertentangan.

Tiang yang tumbang menembusi van dan terkena bahagian leher mangsa yang berada di tempat duduk penumpang depan sehingga menyebabkan kecederaan maut.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan