lightning-solid
Berita :
Mangsa Lemas Pantai Batu Buruk Ditemui Awal Pagi, Operasi SAR Tamat
Mangsa Lemas Pantai Batu Buruk Ditemui Awal Pagi, Operasi SAR Tamat
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Pantai Batu Buruk yang bermula dua hari lepas akhirnya tamat pada jam 3.29 pagi tadi selepas mangsa berjaya ditemui di pesisir pantai.

Timbalan Penguasa Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib memaklumkan mangsa ditemui pada jam 2.30 pagi oleh pasukan penyelamat ketika melakukan rondaan.

"Mangsa telah berjaya ditemui di pesisir pantai pada jam 2.30 pagi oleh Pasukan Penyelamat yang sedang membuat rondaan menggunakan ATV (All Terrain Vehicle), 350 meter daripada tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau dalam kenyataan tersebut, pihak BBP Kuala Terengganu merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat sepanjang operasi berlangsung.

"BBP Kuala Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh pasukan penyelamat atas dedikasi tanpa henti dalam operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pantai Batu Buruk," ujarnya.

Menurut Thoyyibah, operasi berkenaan telah melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta anggota RELA.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan orang awam yang banyak membantu mengikut kapasiti masing-masing sepanjang operasi.

"Sekalung penghargaan juga buat YB DUN Batu Buruk dan YB DUN Ladang serta orang awam atas keprihatinan menyantuni kebajikan serta menyediakan makan minum para petugas sepanjang operasi berlangsung.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada ATV KOMIT Marang (Koperasi Kariah Masjid Kampung Tebakang Marang Berhad) atas penyediaan dua unit ATV dalam operasi SAR ini," tambahnya.

Terdahulu, sebuah operasi SAR dilancarkan susulan kejadian seorang pelajar lelaki warga Myanmar berusia 18 tahun yang dilaporkan lemas ketika mandi-manda bersama rakan di Pantai Batu Buruk pada 16 Februari lalu.


Artikel Berkaitan