Berita :
Razali Cadang Radzi Jadi Ketua Pembangkang
Razali Cadang Radzi Jadi Ketua Pembangkang
Mohd Irsyadi Abu Bakar
17 jam yang lepas
16

KUALA NERUS, 4 Mac - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Razali Idris secara peribadi berpendapat, PAS yang memgang komposisi kerusi paling banyak dalam Perikatan Nasional (PN) lebih layak menerajui peranan sebagai ketua pembangkang.

Namun, beliau turut mencadangkan Dr Radzi Jidin diberi peranan tersebut sekiranya PAS mahu mencipta kelainan.

"Dari segi komposisi kerusi, komposisi kerusi yang paling banyak ialah PAS dan seharusnya PAS yang layak mewakili sebagai ketua pembangkang.

"Ini pandangan peribadi saya, sekiranya PAS merasakan perlu ada sedikit kelainan, saya suka mencadangkan supaya PAS mencadangkan Dr. Radzi Jidin sebagai ketua pembangkang.

"Barulah kita dapat lihat dua pemimpin dari luar kotak, bukan dari keturunan dan warisan politik.

"Dr. Samsuri bukan dari keluarga ahli politik, Dr Radzi juga sama, hanya terbabit politik kerana 1MDB.

"Kalau dua itu digandingkan, bagi saya ini satu cabaran kepada Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pelita Raya 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), semalam.

Dalam pada itu, Razali tidak mahu memberikan komentar atas peranan Hamzah Zainuddin sebagai ketua pembangkang.

"Saya tidak mahu komen apa-apa, itu urusan dia. Cuma kalau dia betul-betul ada roh perjuangan, tidak perlulah buat parti baru dan sertailah parti mana-mana yang ada.

"Tetapi kalau dia hendak sangat jadi presiden, buat parti barulah.

"Layak atau tidak (sebagai ketua pembangkang), saya tidak tahu sebab saya tidak jadi ahli parlimen.

"Tetapi tidak pernah lagi sebelum ini, ketua pembangkang dari kalangan ahli yang bukan mewakili parti, ini pertama kali. Layak itu terserah kepada ahli parlimen," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan