Terengganu Marathon 2026 Himpun Lebih 30 Ribu Peserta
Mohd Irsyadi Abu Bakar
3 jam yang lepas
67
KUAL NERUS, 2 Mei - Terengganu Marathon 2026 melakar sejarah tersendiri apabila merekodkan sebanyak 33,499 penyertaan dalam semua kategori.
Penganjuran edisi kedua yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) itu mempertandingkan lima kategori iaitu perlumbaan Half Marathon 42KM dan 21KM.
Tiga lagi acara adalah kategori Fun Run sejauh 5KM, 2KM dan 1KM.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, merakamkan penghargaan kepada semua peserta, urus setia dan semua yang terlibat menjayakan program berkenaan yang bermula sejak malam tadi.
"Setinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran kali ini daripada UniSZA, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan termasuklah rakan kolaborasi serta rakan penaja yang begitu ramai yang tak sempat, tak mampu untuk saya sebutkan pada hari ini.
"Insya-Allah, kita akan bertemu lagi pada tahun hadapan.
"Saya difahamkan bahawa peserta-peserta yang datang dari jauh, sekitar lebih 40 peratus daripada peserta ini daripada luar Terengganu.
"Insya-Allah, persediaan yang lebih hebat perlu dilakukan pada tahun hadapan dan boleh 'booking' daripada sekarang untuk tempat penginapan masing-masing supaya cukup kepada semua para peserta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Terengganu Marathon 2026, di sini hari ini.
Terengganu Marathon 2026 menawarkan cabutan utama utama wang tunai RM100,000 dan dimenangi oleh peserta dari Kedah, Muhammad Asyraf Abu Bakar.
Tag :