KUANTAN, 17 Mei - Terengganu Hockey Team (THT) menutup tirai jendela pertama TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 dengan kemenangan 5-1 ke atas Young Elephant Pahang sebentar tadi.
Pada aksi di Wisma Belia itu, THT bermula garang dengan jaringan pendahuluan daripada Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee seawal minit ke-10, sebelum Keenan Craig Horne menggandakan jaringan pada minit ke-15, sebelum tamat suku pertama perlawanan.
Pada minit ke-23, pelawat menambah jaringan ketiga menerusi pukulan sudut Muhammad Arif Syafie Ishak.Tuan rumah kemudian cuba bangkit merapatkan kedudukan menerusi Ariq Aidil Hakimi Nor Rizal pada minit ke-26.
Namun, THT kembali melebarkan jurang kepada 4-1, hasil jaringan Muhammad Amirul Hanif Mamat, empat minit kemudian.
Penyerang THT, Faizal Saari menjaringkan gol kelima dari pukulan sudut penalti pada minit ke-40 sekali gus menutup peluang kebangkitan Young Elephant dengan skor 5-1, sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan THT yang berada di tangga ketiga merapatkan jurang dengan pendahulu liga, TNB Thunderstars dengan beza lima mata.
TNB Liga Hoki Malaysia 2026 akan bersambung pada Oktober bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan beraksi di Nation Cup (Jun), Piala Dunia Hoki FIH (Ogos) dan Sukan Asia (September).
Tag :