SETIU, 17 Februari – Tradisi ziarah dan saling menziarahi terus menjadi jambatan penyatuan masyarakat apabila 29 orang penduduk berbilang kaum di Kampung Batu Balai dan Renek, Jabi disantuni sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Ahli Parlimen Setiu Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kepelbagaian kaum yang wujud di daerah itu merupakan kekuatan utama dalam membina masyarakat harmoni dan saling menghormati.
Menurutnya, kunjungan dari rumah ke rumah itu bukan sekadar menyampaikan buah tangan berupa limau mandarin, malah menjadi ruang untuk bertanya khabar dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum.
“Inilah kepelbagaian yang menjadi kekuatan kita selama ini. Walaupun berbeza latar belakang, kita tetap hidup dalam suasana saling menghormati dan meraikan antara satu sama lain,” jelasnya dalam laman sosialnya semalam.

Di samping itu, turut menyeru agar keharmonian yang telah lama terbina terus dipelihara demi kesejahteraan bersama.
“Walaupun masyarakat Cina dan Siam di Setiu tidaklah ramai, mereka tetap sebahagian daripada keluarga besar kita. Perayaan mereka adalah kegembiraan kita bersama,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa program ziarah seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan memastikan setiap komuniti sentiasa diberi perhatian tanpa mengira latar belakang.