Berita :
U-BES Lonjak Belia Asnaf Jadi Usahawan Berdaya Saing
U-BES Lonjak Belia Asnaf Jadi Usahawan Berdaya Saing
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
74

KUANTAN, 4 Mei – Seramai 40 belia asnaf Terengganu menyertai Program Usahawan Belia Asnaf (U-BES) Siri 5 anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad (MIB) yang berlangsung dari 19 hingga 23 April di Hotel Grand Continental, baru-baru ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program tersebut dibiayai dana zakat MIB itu bertujuan melahirkan usahawan dalam kalangan belia asnaf berdaftar dengan MAIDAM agar mampu menjana pendapatan dan keluar daripada kemiskinan.

 Menurutnya,  setiap peserta menerima geran RM5,000 termasuk sokongan pembangunan perniagaan seperti papan tanda, kod bar dan fakta nutrisi mengikut keperluan.

 “Peserta terlibat dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, pertanian, perkhidmatan, digital serta kosmetik.

 “Program ini bukan sahaja melahirkan usahawan, malah berpotensi menjadikan mereka majikan sekali gus membuka peluang pekerjaan,” katanya.

 Ariffin berkata, sejak diperkenalkan pada 2019, U-BES telah melibatkan 155 peserta dengan 97 peratus masih aktif berniaga dan mencatat peningkatan jualan melebihi 15 peratus serta mewujudkan 449 peluang pekerjaan.

 Menurutnya, hasil penambahbaikan program, U-BES Siri 3 dan 4 mencatat 100 peratus peserta kekal berniaga dengan peningkatan pendapatan keseluruhan sebanyak 566 peratus berbanding Siri 1.

 Tambah beliau, antara cabaran utama termasuk pemilihan peserta, proses bimbingan serta pemantauan bagi memastikan sasaran prestasi tercapai yang mana program U-BES turut menerima pengiktirafan ISO 9001:2015 pada 2023.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan