Berita :
UEC Perlu Selaras Dasar Pendidikan dan Perlembagaan Negara
UEC Perlu Selaras Dasar Pendidikan dan Perlembagaan Negara
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
75

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan agar tidak menjejaskan asas pembinaan identiti nasional yang telah diperkukuhkan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Malaysia sejak awal telah membangunkan sistem pendidikan kebangsaan yang jelas melalui Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta Pendidikan 1996 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, Dasar Pendidikan Kebangsaan bukan sekadar dasar akademik, sebaliknya merupakan instrumen penting pembinaan negara bangsa yang menyatukan masyarakat majmuk melalui bahasa, sejarah, identiti nasional dan semangat kewarganegaraan.

“Kita tidak menolak mana-mana bentuk pendidikan yang memberi manfaat kepada generasi muda, namun sistem pendidikan negara perlu bergerak dalam kerangka yang sama supaya wujud keseragaman nilai kenegaraan dan semangat kebangsaan.

“Malaysia telah mempunyai sistem pendidikan kebangsaan yang lengkap dan tersusun melalui peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi, STPM serta pelbagai laluan pendidikan tinggi yang diiktiraf negara.

"Maka sebarang cadangan pengiktirafan baharu perlu diteliti dengan cermat supaya tidak mewujudkan dualisme yang boleh menghakis matlamat asal Dasar Pendidikan Kebangsaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pengiktirafan UEC yang kembali menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat dan parti politik ketika ini, selepas Majlis Anugerah Keterbilangan SPM SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, di Dewan Fikri sekolah berkenaan.

Muhammad Khalil berkata, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah kedudukan Bahasa Melayu dan kandungan sejarah negara dalam sistem UEC dilihat tidak selaras sepenuhnya dengan kerangka pendidikan kebangsaan.

Jelasnya, penguasaan Bahasa Melayu dan pemahaman terhadap sejarah Malaysia merupakan elemen asas dalam membentuk identiti rakyat  memupuk rasa tanggungjawab terhadap negara.

“Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menjadi tunjang penyatuan rakyat pelbagai kaum. 

"Dalam masa sama, pendidikan sejarah pula penting bagi memastikan generasi muda memahami proses pembinaan negara, kontrak sosial dan semangat hidup bersama dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Menurutnya lagi, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dibina sejak puluhan tahun lalu telah berjaya melahirkan jutaan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar kaum dalam satu kerangka nasional yang sama.

“Isu ini perlu dilihat dalam konteks lebih besar, bukan sekadar soal sijil atau laluan akademik, tetapi melibatkan masa depan identiti negara, perpaduan nasional dan kesinambungan asas-asas yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa mempertahankan Bahasa Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermaksud menafikan hak kaum lain.

Sebaliknya, katanya, ia merupakan sebahagian daripada formula kestabilan negara yang telah dipersetujui bersama dan menjadi asas keharmonian Malaysia sejak merdeka.

“Rakyat perlu membezakan antara sikap perkauman sempit dengan usaha mempertahankan asas kenegaraan yang telah menjadi tunjang kestabilan negara selama ini.

“Kita mahu pendidikan terus menjadi medium perpaduan nasional dan bukannya membuka ruang kepada pemisahan identiti atau sistem yang bergerak di luar kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan,” tambahnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan