KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Permohonan Program Walimatulurus Perdana 2026 bagi membantu pasangan terpilih mengurangkan perbelanjaan mengadakan majlis perkahwinan kini dibuka.
Program kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu merupakan majlis perkahwinan beramai-ramai yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada bakal pengantin.
Program berkenaan dijadualkan berlangsung pada 7 November depan.
Menurut YPKT, permohonan terbuka kepada rakyat Terengganu yang bakal berkahwin buat kali pertama. Ibu atau bapa tunggal yang ingin berkahwin semula juga layak memohon.
Jelas kenyataan itu, antara syarat ditetapkan ialah pemohon atau pasangan mestilah rakyat Terengganu serta berumur sekurang-kurangnya 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
"Jumlah pendapatan bulanan pemohon bersama pasangan pula tidak boleh melebihi RM3,500. Pemohon juga perlu lulus Kursus Pra-Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam (MBKPI).
"Pasangan yang berjaya dalam sesi temu duga perlu membayar wang komitmen sebanyak RM1,000. Bayaran itu akan dipulangkan selepas mereka selesai menyertai program berkenaan," ujar YPKT.

Jelas kenyataan itu lagi, kemudahan lain yang disediakan termasuk pelamin, kad jemputan, khidmat jurugambar, jamuan bersama keluarga terdekat dan cenderahati tetamu.
"Pasangan berkenaan turut berpeluang mengikuti kursus berkaitan kekeluargaan anjuran YPKT secara percuma sebagai persediaan menjalani kehidupan berumah tangga.
"Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.ypkt.gov.my atau diperoleh di Pejabat YPK Kawasan berhampiran. Borang yang lengkap perlu diserahkan kepada Pejabat YPK Kawasan masing-masing selewat-lewatnya pada 23 Ogos 2026. Permohonan yang diterima lebih awal akan diberikan keutamaan.
"Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui talian 09-624 9355, 09-624 9357 atau 09-624 9358. Orang ramai juga boleh menghubungi YPKT menerusi e-mel admin@ypkt.gov.my," jelas YPKT.