Industri LNG : Anak Terengganu Tidak Ketinggalan

KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa pembangunan industri LNG turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan tempatan serta penjenamaan semula Terengganu sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek LNG yang sedang dirancang akan membuka peluang latihan dan pembangunan kemahiran kepada rakyat tempatan. 

"Kita akan menyediakan latihan dalam bidang teknologi LNG kepada tenaga kerja negeri ini,” katanya. 

"Ini penting bagi memastikan anak Terengganu dapat terlibat secara langsung dan menjadi aset penting kepada industri tenaga masa hadapan.” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Nurkhuzaini, selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja, projek ini juga akan memperkukuh imej Terengganu sebagai negeri pelaburan yang dinamik dan berdaya saing. 

"Kehadiran hab LNG akan menjadikan negeri ini lebih menarik kepada pelabur antarabangsa.

"Sektor perkhidmatan, pelancongan dan perniagaan tempatan juga bakal menerima limpahan manfaat secara langsung daripada pembangunan ini," tambahnya.