lightning-solid
Berita :
Inovasi Pasir Kucing Anak Terengganu Raih Anugerah Emas Bertaraf Antarabangsa
Inovasi Pasir Kucing Anak Terengganu Raih Anugerah Emas Bertaraf Antarabangsa
Ahmad Zaeem Zainudin
14 jam yang lepas
134

KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Inovasi pasir kucing daripada bahan terbuang hasil kreativiti pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman Besut (SMIDI) berjaya merangkul Anugerah Emas dalam pertandingan World Youth STEM Invention and Innovation 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi penyertaan dua kumpulan inovasi SMIDI yang mewakili Malaysia dalam pertandingan anjuran Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) selama lima hari di Hotel Al-Meroz, Bangkok, dengan penyertaan peserta dari lebih 10 negara.

Inovasi berteraskan kelestarian alam sekitar itu dihasilkan oleh Team Eco Clump Innovators di bawah bimbingan guru pembimbing, Rosyafirah Hashim, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar sekolah berkenaan menghasilkan inovasi yang mampu bersaing di persada antarabangsa.

IMG-20260210-WA0025.jpg 414.56 KB
Pasukan tersebut dianggotai oleh empat orang pelajar iaitu Muhammad Adam Basri Asan Besri (15), Muhammad Zahien Ammar Zulfalizam (15), Tuan Ammar Suhaib Sulaimi (15) dan Muhammad Adam Rayyan Mohd Amrul (14).

Manakala, pasukan kedua ,Team Brain Boost Crews, terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dibimbing oleh Nur Ainina Syuhada Zulkiflee pula dianggotai oleh Muhammad Aqil Mirza Shuhaipi, Nik Muhammad Afham Mirza Mohd Fareq Wajdi serta Saiyyidah 'Aeisyah Mohd Redzauddin.

Pengetua SMIDI Besut, Mohd Fadly Afiq Hamid berkata, kejayaan inovasi berteraskan bahan terbuang itu adalah hasil komitmen tinggi serta kerja keras berpasukan antara guru dan pelajar yang dibimbing secara sistematik.

"Hasil komitmen yang jitu dan kerja keras berpasukan yang diketuai oleh Ketua Rombongan, Rosyafirah binti Hashim dan guru pengiring Nur Ainina Syuhada Zulkiflee telah berjaya mencipta inovasi dalam memenangi Anugerah Emas dalam dua kategori yang berbeza.

"Semangat juang yang tinggi telah ditunjukkan oleh para guru ini dalam mencungkil dan mengasah bakat para pelajar bagi menyertai pertandingan ini amat dihargai," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan para pelajar yang terlibat dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi itu sehingga mampu bersaing di peringkat global.

IMG-20260210-WA0027.jpg 450.88 KB
Menurut SMIDI dalam satu kenyataan, sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) turut menjadi faktor penting yang membuka laluan kepada penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.

"Jutaan terima kasih juga diucapkan atas sokongan yang padu dari pihak Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dalam menyokong penglibatan pihak sekolah ke persada antarabangsa," ujar kenyataan itu.

Pertandingan World Youth STEM Invention and Innovation 2026 turut mencatat sejarah apabila memecahkan rekod Malaysia Book of Records bagi kategori 'The Most Participants in an International STEM Competition 2026', sekali gus mengukuhkan lagi nama negara di persada inovasi dunia.


Artikel Berkaitan